Jangan terikut sandiwara pembangkang, Naib Presiden MIC gesa Speaker Dewan Rakyat

Jangan terikut sandiwara pembangkang, Naib Presiden MIC gesa Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, Mei 8: Naib Presiden MIC Kebangsaan, Dato’ Sivarraajh Chandran hari ini menggesa Yang Di Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Bin Md Yusof agar tidak terikut-ikut sandiwara politik pihak pembangkang sekali lagi.

“Merujuk kepada kenyataan YDP Dewan Rakyat tentang penerimaan satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) oleh YB Langkawi yang bertujuan untuk membawa undi tidak percaya terhadap YAB Pagoh pada persidangan Dewan Rakyat nanti, saya ingin menasihatkan YB Speaker supaya jangan terikut – ikut dengan sandiwara politik yang dimainkan oleh Ahli – Ahli Parlimen Pembangkang.”

“YB Speaker jangan mengulangi kesilapan lalu. Sebelum ini YB Speaker pernah terikut – ikut dengan tuntutan Ahli – Ahli Parlimen Pakatan Harapan sehingga menghalau keluar saya dari Dewan Rakyat walaupun saya masih menjadi Ahli Parlimen Cameron Highlands yang sah mengikut Perlembagaan Persekutuan. Kesilapan tersebut hanya diperbetul beberapa hari kemudian setelah YB Speaker membenarkan saya untuk kembali ke Dewan Rakyat,” kata Sivarraajh.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa sebahagian besar rakyat berharap persidangan Dewan Rakyat kali ini akan memberi keutamaan kepada agenda rakyat dan bukannya politik partisan yang tak berkesudahan. Oleh yang sedemikian, YB Speaker sepatutnya memberi keutamaan kepada urusan kerajaan dalam Dewan Rakyat untuk memastikan kelangsungan agenda rakyat dalam pentadbiran negara.

“YB Speaker juga perlu mengambil kira implikasi usul tersebut dengan keadaan semasa. Saya pasti YB Speaker lebih tahu bahawa jika usul tersebut berjaya, YAB Pagoh bukan sekadar boleh meletak jawatan, beliau juga boleh menasihati Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mengadakan Pilihan Raya Umum. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum sekarang ?” soal Sivarraajh.

“Malah, jika YAB Pagoh berjaya membuktikan sokongan untuk kekal sebagai Perdana Menteri pun, Ahli – Ahli Parlimen Pembangkang akan tetap menggunakan isu ini dari semasa ke semasa demi kepentingan politik mereka. Perkara ini jelas. Seolah – olah sudah menjadi “trend” dalam kalangan Ahli – Ahli Parliemen Pembangkang untuk memainkan isu tersebut walaupun YAB Pagoh menubuhkan kerajaan ini secara sah dari sisi undang – undang.”

“YB Speaker perlu lebih tegas terhadap Ahli – Ahli Parlimen yang menganggu urusan kerajaan terutamanya dalam keadaan yang sangat tidak menentu seperti sekarang. Jangan terikut – ikut dengan permainan Ahli Parlimen Pembangkang sehingga urusan kerajaan demi kepentingan rakyat terjejas. Ini waktunya untuk kita beri keutamaan pada kepentingan nasional, bukan kepada kepentingan peribadi,” tambah Sivarraajh lagi.

Google+ Linkedin

1 Comment

  • Syarif yacob

    Tahniah YB, sya bangga dng YB kerana berani menyatakan perkara yg benar utk dilakukan kepada spiker,
    Sya harap YB dapat teruskan usaha yg baik ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*