Anwar saran rakyat tolak politik tipu helah

Anwar saran rakyat tolak politik tipu helah

KUALA LUMPUR, Jun 28: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim malam tadi menggesa rakyat supaya menolak politik tipu helah dengan berkata, politik bukanlah sekadar perebutan kuasa, tetapi tentang bagaimana ia diterjemahkan.

Gesaan itu merupakan kenyataan pertama beliau menerusi media sosial selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama Warisan, Amanah dan DAP bersetuju untuk menamakan Presiden Warisan Dato’ Seri Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

“Tolak politik tipu helah. Politik tidak sekadar perebutan kuasa, tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan. Sama ada untuk membela rakyat atau sekadar meneruskan sistem lama yang lapuk dan usang?” katanya tanpa merujuk kepada isu pencalonan Shafie.

Antara isu yang diberikan penekanan adalah berkaitan tanggungjawab sebenar ahli politik bagi membela nasib rakyat dan memperbaiki masalah negara.

“Ada sekarang ini (pihak) cuba menangguk di air keruh. Ada yang sekonyong-konyong nak muncul menjadi juara, sebagai tokoh hebat, yang kononnya pendamai atau menyelesai, jambatan dan pelbagai. Itu lumrah alam dalam keadaan begini.

“Politik ini bukan sepak terajang politikus untuk sekadar mencari helah, taktik untuk merebut kuasa. Politik adalah berkait dengan urusan tadbir, soal rakyat.

“Apakah dasar ini mengekalkan corak pentadbiran usang, lapuk, rasuah, menindas seperti berlaku sekarang atau dahulu.

“Politik dan penguasa bukan sandaran untuk memperkaya diri dan keluarga, untuk meneruskan nafsu serakah dan melemparkan dendam kesumat pada orang, tetapi mencari titik perdamaian, merangkul kekuatan,” katanya.

Terdahulu hari ini Mahathir mendedahkan bahawa kumpulannya bersama-sama DAP, Amanah dan Warisan bersetuju mencadangkan supaya Anwar dilantik sebagai timbalan perdana menteri 1 dan anaknya Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2 sekiranya gabungan pembangkang itu kembali berkuasa.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas pembangkang mengambil keputusan untuk menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri.

Menurut Mahathir, Shafie merupakan salah seorang pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi.

Bahkan katanya, Shafie adalah pemimpin awal yang menjadi mangsa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*