Kes culik dan bunuh Datuk Seri: ‘Thamby’ serah diri

Kes culik dan bunuh Datuk Seri: ‘Thamby’ serah diri

SHAH ALAM, Jun 30 – Seorang lagi lelaki dikenali sebagai Vikneswarar Nagentiran yang diburu bagi membantu siasatan kes penculikan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemui di Jalan Rawang, Bestari Jaya telah hadir menyerah diri di Balai Polis Rawang malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 28 tahun itu itu juga dikenali dengan gelaran Thamby@Vinod.

“Reman telah dipohon pagi tadi dan mahkamah membenarkan reman tujuh hari sehingga Isnin depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain itu salah seorang suspek yang ditahan sebelum ini dan tamat reman hari ini juga telah disambung reman tujuh hari.

Semalam, Fadzil berkata, lelaki dikenali sebagai Sheikh Ismail Sheikh Hassan atau El, 26, yang dicari polis bagi membantu siasatan juga telah ditahan di Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu kelmarin.

Terdahulu, polis memberkas tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dalam serbuan berasingan sejak Jumaat lalu.

Kesemua suspek termasuk seorang lelaki bergelar Datuk berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun telah direman untuk siasatan lanjut.

Dalam kenyataan Fadzil sebelum ini memaklumkan mayat mangsa ditemui kira-kira jam 9 pagi, Sabtu lalu, hasil siasatan ke atas salah seorang suspek.

Mangsa yang berusia 55 tahun diculik ketika sedang berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10 Jun lalu kira-kira jam 10.30 pagi.

Kehilangan pemaju hartanah itu diketahui keluarganya pada waktu tengah hari tarikh yang sama selepas menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak S$50 juta (RM154 juta).

Keluarga mangsa kemudian melaporkan kejadian itu pada pihak polis sebaik mengetahui mangsa diculik.

Soal siasat ke atas suspek mendakwa mangsa meninggal dunia selepas tiga atau empat hari diculik sebelum mayatnya dicampak di kawasan belukar di tepi laluan berkenaan.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*