Cadangan Shafie calon PM perlu keputusan bersama PH, kata Amanah dan DAP

Cadangan Shafie calon PM perlu keputusan bersama PH, kata Amanah dan DAP

KUALA LUMPUR, Jul 1: Amanah dan DAP memutuskan bahawa cadangan untuk menjadikan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri PH perlu diputuskan secara bersama dalam Majlis Presiden gabungan itu.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JPN) parti itu telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan cadangan itu hari ini.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa cadangan itu untuk mencari penyelesaian kepada usaha mencukupkan sokongan ahli Parlimen bagi PH membentuk semula kerajaan.

“Setelah mengambil pandangan semua ahli mesyuarat, jawatankuasa menganggap persoalan ini perlu diputuskan bersama dalam Majlis Presiden PH demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani persoalan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Khalid tidak menyatakan pendirian Amanah berkenaan cadangan itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) parti itu juga sebulat suara memutuskan bahawa pencalonan Shafie harus diputuskan bersama dalam mesyuarat majlis presiden PH.

Ini susulan mesyuarat CEC malam tadi, yang mengatakan Majlis Presiden PH harus mengadakan mesyuarat dalam kadar segera sebelum persidangan parlimen bermula pada 13 Julai.

“CEC menegaskan pendirian bahawa kedudukan Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama, Pakatan Harapan juga perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional.

“CEC mengambil maklum bahawa cadangan pencalonan ini adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kalinya,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Dr Mahathir Mohamad mendedahkan cadangan untuk mencalonkan Shafie dibuat dalam satu pertemuan tidak rasmi dengan DAP, Amanah dan Warisan. Cadangan itu juga mengesyorkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikai, Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*