Ibu bapa, murid prasekolah, tadika dan taska patuhi SOP ketat

Ibu bapa, murid prasekolah, tadika dan taska patuhi SOP ketat

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Persis melentur buluh biar dari rebungnya, begitulah gambaran anak-anak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika memasuki prasekolah, taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) yang dibuka kembali di seluruh negara, mulai hari ini.

Selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik COVID-19, pembukaan semula institusi ini menyaksikan setiap murid yang tiba lengkap memakai pelitup separuh muka, diperiksa suhu badan, mencuci tangan menggunakan cecair pensanitasi tangan sebelum masuk ke kelas selain ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak setakat pintu utama. 

Ceria bertemu rakan-rakan, mereka mematuhi panduan guru dan mengikuti SOP termasuk jarakan sosial walaupun agak kekok kerana terpaksa duduk berjauhan antara satu sama lain.  

Guru besar sebuah tadika di Keramat, Kuala Lumpur, Salmiah Jusoh berkata persediaan bagi memulakan sesi pembelajaran telah dilakukan dua minggu awal sebaik sahaja tarikh pembukaan semula tadika diumumkan memandangkan murid perlu melalui kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kebiasaan baharu.

“Pihak kami cuba mematuhi sebaik mungkin SOP yang telah digariskan dan saya tengok kebanyakan ibu bapa dan murid teruja memulakan hari pertama sekolah dan walaupun dengan SOP baharu ini mereka dapat ikut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang bapa, Ahmad Syahir Izani Tajodin, 34, mengakui pada awalnya sedikit bimbang untuk menghantar anak ke tadika memandangkan penularan wabak COVID-19 masih belum berakhir, namun percaya SOP yang ketat oleh pihak sekolah mampu menanganinya.

“Seminggu sebelum masuk tadika dah beritahu pada anak untuk bersedia dan sudah cerita apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat, nampak dia dah faham dan lebih bersemangat untuk ke sekolah mungkin sebab bosan lama sangat duduk di rumah sebelum ini,” katanya.

Pada 15 Jun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan membenarkan prasekolah dibuka sepenuhnya bagaimanapun operasi mereka tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

— BERNAMA

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*