Pelanjutan moratorium pinjaman keperluan mendesak rakyat, saran Ahli Majlis Pusat MIC

Pelanjutan moratorium pinjaman keperluan mendesak rakyat, saran Ahli Majlis Pusat MIC

KUALA LUMPUR, Julai 6: Ahli Majlis Pusat MIC, Gunaseelan Rajoo menyeru kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) agar mempertimbangkan pelanjutan moratorium pinjaman bagi rakyat Malaysia demi mengharungi cabaran ekonomi di dalam tempoh yang kritikal ketika ini.

“Penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan implementasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dikuti oleh PKP Diperketatkan dan PKP Bersyarat telah membawa kesan sosio ekonomi besar kepada rakyat Malaysia.”

“Statistik Jabatan Perangkaan mencatatkan bahawa kadar pengangguran telah meningkat sebanyak 5.5%, dengan lebih 860,000 rakyat terjejas sejak PKP bermula. Berpuluhan ribu rakyat lagi pula terpaksa mengalami pemotongan gaji, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau kehilangan sumber rezeki kerana terpaksa patuh perintah kawalan, justeru menjejaskan rezeki mereka.”

“Mereka yang berlatarbelakangkan kerjaya sektor-sektor perkhidmatan seperti pengangkutan udara, perhotelan, pelancongan dan sebagainya masih tidak jelas lagi hala tuju mereka. Bukan sahaja golongan B40, malah golongan M40 juga tergugat.”

“Moratorium 6-bulan oleh institusi perbankan telah banyak membantu meringankan beban rakyat. Inisiatif PRIHATIN dan PENJANA oleh Kerajaan Perikatan Nasional turut membantu rakyat di saat yang amat diperlukan,” kata Gunaseelan.

“Walaupun sektor ekonomi kini kembali beroperasi secara berperingkat, keseluruhannya rakyat masih memerlukan ruang dan masa bagi menyusun kehidupan dan ekonomi masing-masing berdasarkan norma baru di dalam segenap bidang, sehingga mereka mampu membayar semula pinjaman. Maka, saya ingin menyaran kerajaan dan institusi perbankan negara untuk melanjutkan moratorium pinjaman sehingga Disember tahun ini.”

“Langkah pelanjutan moratorium dan insentif lain secara langsung akan pasti membantu kerajaan untuk mencapai hala tuju ekonomi semasa termasuk menangani isu pengangguran,” tambah Gunaseelan lagi.

Beliau turut mencadangkan agar pelanjutan moratorium bagi tempoh tiga bulan dipanjangkan kepada sektor perniagaan yang turut terkesan pada ketika ini. Katanya, tawaran pelanjutan moratorium akan dapat memastikan kelangsungan ekonomi dan penyusunan semula perniagaan dengan lebih efektif.

“Ini adalah masanya bagi institusi perbankan negara bagi membantu pemulihan ekonomi negara dan rakyat, dan sebagai mengiktiraf sokongan dan kesetiaan pelanggan mereka sekian lama yang telah membantu pencapaian kewangan yang kukuh,” ulas Gunaseelan lagi.

– The Sentral

Google+ Linkedin

1 Comment

  • MK V Ravindran

    We totally agree with you and support our MIC for championing for the people. God bless.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*