Azhar Harun dipilih Speaker Dewan Rakyat

Azhar Harun dipilih Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Julai  — Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  Datuk Azhar Azizan Harun dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10 hari ini.

Azhar, 58,  merupakan calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu. 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan pencalonan Azhar mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Tiada undi diadakan memandangkan hanya satu nama dicadangkan.

Usul itu dibentang Perdana Menteri selepas usul pertamanya supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat sedia ada Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya diluluskan selepas menerima sokongan 111 undi berbanding 109 undi.

Seorang Ahli Parlimen tidak hadir manakala seorang lagi berkecuali.

“Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berbahagia Datuk Azhar Azizan @ Harun dipilih menjadi Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih,” kata Muhyiddin.

Azhar sebelum ini dilantik sebagai pengerusi SPR pada 21 Sept 2018 menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau meletakkan jawatan pengerusi SPR pada 29 Jun. 

— BERNAMA

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*