Sidang media Shafie 10 pagi ini, Sabah bersedia bagi Pilihan Raya Negeri?

Sidang media Shafie 10 pagi ini, Sabah bersedia bagi Pilihan Raya Negeri?

KOTA KINABALU, Julai 30: Perhatian kini tertumpu kepada ketua menteri Sabah, Shafie Apdal yang dijadual mengadakan sidang akhbar jam 10 pagi, dipercayai berkaitan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin malam tadi.

Menurut sumber dari kem presiden Warisan, pertemuan di Istana Negeri Sabah di Kota Kinabalu itu meliputi perbincangan mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya negeri.

Pertemuan itu berlangsung hanya beberapa jam selepas bekas ketua menteri, Musa Aman mengumumkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk membentuk kerajaan.

“Kita perlu melihat apakah respons daripada Tuan Yang Terutama terlebih dahulu,” kata sumber tersebut.

Sumber yang rapat dengan Shafie berkata demikian ketika ditanya apakah Shafie berada di istana negeri bagi membubarkan DUN yang akan membuka jalan kepada pilihan raya negeri.

Semalam, Musa, yang merupakan Adun Sibuga, mengadakan sidang media di mana beliau mendakwa memperolehi Akuan Bersumpah (SD) daripada Adun yang menyokongnya.

Pemimpin Umno itu bagaimanapun tidak menyatakan jumlahnya.

Musa juga mendakwa beliau telah diperintahkan oleh Yang di-Pertua Negeri untuk menyerahkan SD tersebut.

Bagaimanapun, sehingga tengah malam ini, tidak jelas apakah Musa berjaya menghadap Yang di-Pertua Negeri.

Menurut laporan The Star, Shafie meninggalkan istana negeri sekitar jam 11 malam. 

Masih belum dapat dipastikan apa keputusan yang dicapai dalam pertemuan itu.

Tidak lama kemudian, pembantunya mengundang pihak media untuk menghadiri sidang media di pusat pentadbiran negeri di Kota Kinabalu, yang dijadualkan pada pukul 10 pagi hari ini.

Untuk rekod, Dun Sabah terdiri daripada 60 kerusi wakil rakyat. 

Lima lagi merupakan kerusi Adun dilantik. 

Bagaimanapun difahamkan bahawa Adun dilantik tidak dapat menentukan kedudukan pentadbiran kerajaan negeri.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*