Kejayaan Banci 2020 tanggungjawab semua, saran Ahli Majlis Pusat MIC

Kejayaan Banci 2020 tanggungjawab semua, saran Ahli Majlis Pusat MIC

KUALA LUMPUR, Sept 2020: Ahli Majlis Tertinggi Parti MIC, Gunaseelan Rajoo menyaran semua pihak agar memastikan kejayaan program Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) yang menjadi teras kepada kerajaan bagi merangka halatuju dan dasar-dasar pembangunan negara.

“Adalah menjadi tanggungjawab bersama kita bagi memastikan agenda dan objektif Banci 2020 tercapai. Seperti yang kita sedia maklum, Banci 2020 merangkumi dua fasa tahun ini, iaitu fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September secara dalam talian (e-Census), manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober (7-24 Okt) menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.”

“Kenyataan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bahawa hanya sekitar sejuta penduduk yang memanfaatkan bancian secara talian setakat ini amat membimbangkan. Ianya hanya sekitar 3% dari jumlah penduduk Malaysia seramai 32 juta orang, jauh rendah daripada unjuran 30% yang dijangkakan oleh Jabatan Perangkaan Negara,” kata Gunaseelan.

“Kaedah e-census ini perlulah dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan ianya bersifat mesra teknologi dan menepati keperluan situasi semasa tatkala negara kita kini di dalam fasa pemulihan Covid-19. Memang fasa kedua Banci 2020 akan melibatkan bancian secara bersemuka, tetapi sama-samalah kita permudahkan keseluruhan proses bancian melalui sistem e-census ini.”

“Data yang dikumpul melalui Banci 2020 akan memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa negara, menjadi asas kepada perancangan pembangunan negara. Maklumat yang diperoleh akan digunakan untuk menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat,” tambah Gunaseelan lagi.

“Bancian secara talian boleh disempurnakan melalui laman sesawang https://ecensus.mycensus.gov.my/sign-up. Tontonilah video di bawah bagi cara pendaftaran dan pengisian maklumat secara e-census. Marilah kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia menjayakan Banci 2020,” saran Gunaseelan.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*