Penjana HRDF berjaya menawarkan lebih 32,000 peluang kerjaya – Menteri Sumber Manusia

Penjana HRDF berjaya menawarkan lebih 32,000 peluang kerjaya – Menteri Sumber Manusia

KOTA KINABALU, Sept 16: Lebih 32,317 individu telah ditawarkan peluang pekerjaan menerusi Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) atau dikenali PENJANA HRDF, sejak ia dilancarkan 22 Jun lalu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata daripada jumlah itu seramai 1,603 orang adalah dari Sabah.

“Melalui PENJANA HRDF, seseorang individu itu bukan sahaja akan mendapat pekerjaan, tetapi mereka juga akan dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan.

“Kos latihan pula ditanggung sepenuhnya oleh Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) melalui peruntukan PENJANA sebanyak RM250 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Jun lepas,” katanya ketika merasmikan Program Inisiatif PENJANA HRDF peringkat Sabah, di sini, pada Selasa.

PENJANA HRDF dilaksanakan bagi membantu menangani isu pengangguran akibat pandemik COVID-19. Katanya melalui PENJANA HRDF lima skim diperkenalkan iaitu Latihan dan Penempatan, Pembangunan B40, Pembangunan SME, Revolusi Industri 4.0 dan Gerak Insan Gemilang (GIG).

“Daripada lima skim ini, terdapat dua skim yang memberi tumpuan kepada hasil penempatan pekerjaan dan penjanaan peluang pendapatan.

“Pertama skim Latihan dan Penempatan yang memberi jaminan penempatan pekerjaan sekurang-kurangnya 12 bulan kepada pelatih sebaik sahaja peserta menamatkan latihan,” katanya.

Saravanan berkata skim yang kedua adalah skim GIG yang membolehkan pelatih menceburi serta menjana pendapatan dalam sektor ekonomi setelah menamatkan latihan.Mengulas mengenai majlis berkenaan, beliau berkata seramai 20 individu mewakili 1,600 warga Sabah yang telah mendapat pekerjaan, menerima Surat Tawaran Kerja.

“Mereka yang berjaya ini akan mula bekerja untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan dengan kadar gaji bermula antara RM1, 800 dan RM7,000 sebulan,” katanya.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*