Lanjutkan tempoh e-Census, tangguhkan proses banci bersemuka, saran Naib Presiden MIC

Lanjutkan tempoh e-Census, tangguhkan proses banci bersemuka, saran Naib Presiden MIC

KUALA LUMPUR, Okt 3: Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah hari ini menyaran kerajaan, khasnya Jabatan Perangkaan Negara agar mempertimbangkan cadangan perlanjutan tempoh pengisian data secara e-Census, dan menangguhkan proses banci secara bersemuka yang dijadualkan dari 7 hingga 24 Oktober 2020.

“Cadangan tersebut adalah memandangkan situasi Covid-19 di dalam negara yang makin kritikal dengan penularan gelombang ketiga. Saya menyaran agar proses banci bersemuka yang dijadualkan bermula minggu hadapan ditangguhkan sehingga keadaan kembali pulih. Keselamatan dan kesihatan barisan pembanci serta rakyat perlu kita utamakan.”

“Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin telah menyatakan bahawa seramai 2.6 juta penduduk sudah melengkapkan bancian kendiri secara dalam talian bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat 30 September yang lepas, dan tempoh pengisian e-Census dilanjutkan sehingga 6 Oktober 2020. Jumlah ini amatlah rendah, iaitu hanya 9 peratus berbanding unjuran 30 peratus yang diharapkan oleh Jabatan Perangkaan Negara,” kata Datuk T. Murugiah.

Datuk T. Murugiah menyaran agar cadangan perlanjutan e-Census serta penangguhan banci secara bersemuka dipertimbangkan dan diputuskan segera bagi manfaat semua pihak berkepentingan.

“Saya mencadangkan agar e-Census dilanjutkan sehingga hujung bulan Oktober ini, dengan lebih banyak promosi dipergiatkan demi pemahaman dan tindakan orang ramai bagi mencapai sasaran melebihi 30%. Saya berpendapat banci secara bersemuka perlu ditangguhkan sehingga keadaan kembali reda bagi mengelak sebarang risiko penularan baru Covid-19 dengan kluster ‘banci’ pula,” tambah Datuk T. Murugiah lagi.

Google+ Linkedin

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*