Penularan wabak Covid-19 di kluster-kluster penjara membimbangkan, Naib Presiden MIC gesa penjelasan dan tindakan KDN, Jabatan Penjara

Penularan wabak Covid-19 di kluster-kluster penjara membimbangkan, Naib Presiden MIC gesa penjelasan dan tindakan KDN, Jabatan Penjara

KUALA LUMPUR, Okt 21: Naib Presiden MIC Kebangsaan Datuk T. Murugiah hari ini menzahirkan kebimbangan dan kekecewaan beliau terhadap penularan wabak Covid-19 yang begitu mendadak di kluster-kluster penjara yang turut menjadi penyumbang utama kepada jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia.

“Saya amat khuatir dan dukacita dengan kadar penularan wabak Covid-19 di kluster-kluster penjara yang amat membimbangkan. Saya menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia tampil memberi penjelasan mengenai faktor-faktor yang mengakibatkan ribuan kes jangkitan di kalangan banduan dan kakitangan penjara, di mana kesilapannya, apakah SOP yang diamalkan di penjara sebelum dan selepas penularan mendadak tersebut berlaku,” kata Datuk T. Murugiah.

Kluster-kluster penjara yang menjadi pusat penularan wabak Covid-19 di Malaysia adalah termasuk Kluster Tembok di Penjara Alor Setar – Kedah,  Kluster Penjara Kepayan – Sabah, Kluster Benteng di Penjara Tawau – Sabah, Kluster Penjara Jawi – Pulau Pinang, Kluster Penjara Reman – Pulau Pinang, Pusat Koreksional Kamunting – Perak, kesemuanya meliputi ribuan kes melibatkan banduan dan pegawai penjara.

“Apakah SOP penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan penggunaan sanitizer diamalkan di penjara di seluruh Malaysia? Ataupun ianya hanya diimplementasi selepas penularan wabak Covid-19 ini berlaku? Apakah Jabatan Penjara dan KDN telah bertindak alpa tanpa mempertimbangkan kemungkinan risiko penyebaran Covid-19 di  penjara?” soal Datuk T. Murugiah lagi.

Datuk T. Murugiah turut membangkitkan kemusykilan beliau mengenai tindakan susulan dan SOP yang dilaksanakan oleh KDN dan pihak Jabatan Penjara berikutan insiden penularan wabak Covid-19 tersebut.

“Saya berharap pihak berkenaan telah bertindak pro aktif dengan saringan Covid-19 dijalankan ke atas semua banduan, bukan terhad kepada kontak rapat sahaja. Sanitasi keseluruhan kawasan penjara dan persekitarannya saya percaya telah dijalankan juga. Pihak Kementerian Kesihatan juga wajar membuat saringan ke atas semua pegawai penjara di kluster terbabit serta kontak rapat mereka.”

“Banduan baru di seluruh negara harus menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin di sel atau pusat tahanan khas sebelum dimasukkan ke penjara bagi mengelak sebarang penularan baru. Memang tidak dapat dinafikan ruang penjara adalah terhad dan mungkin tidak memadai bagi penjarakan sosial mahupun pengasingan banduan. Pertimbangkanlah pemindahan banduan ke penjara lain dengan kapasiti yang tidak dipenuhi, ataupun wujudkan pusat tahanan sementara di fasiliti-fasiliti kerajaan,” cadang Datuk T. Murugiah.

“Kebajikan semua rakyat, termasuk golongan banduan perlulah dijaga dan dipastikan tatkala kita memerangi penularan wabak Covid-19. Kita harus ingat penjara adalah tempat bagi banduan insaf akan kesalahan mereka dan merangka kehidupan baru mereka pasca pembebasan,” tambah beliau lagi.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*