Saringan Covid-19 percuma untuk pencarum Perkeso, umum Menteri Sumber Manusia

Saringan Covid-19 percuma untuk pencarum Perkeso, umum Menteri Sumber Manusia

PUTRAJAYA, Okt 21: Para majikan boleh menjalankan saringan Covid-19 untuk pekerja mereka secara percuma bagi yang membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Program Saringan Prihatin (PSP).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia sepertimana arahan kerajaan untuk berbuat demikian bagi mereka yang perlu hadir bekerja di pejabat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lima negeri terlibat termasuk pekerja asing.

Beliau berkata, saringan tersebut perlu melalui panel perkhidmatan yang dilantik Perkeso dengan membuat janji temu saringan dan mengemukakan maklumat lengkap.

“Saringan Covid-19 juga boleh dijalankan melalui kaedah Subsidi Saringan Prihatin. Kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu.

“Majikan boleh mengemukakan permohonan untuk subsidi itu melalui portal https://psp.perkeso.gov.my dengan menyertakan resit bayaran. Perkeso akan membuat bayaran balik subsidi sehingga RM150.00 bagi setiap pekerja yang menjalani saringan Covid-19 dan terhad untuk dijalankan melalui majikan sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Saravanan, senarai Panel Perkhidmatan Perkeso terdapat dalam Direktori Panel Perkhidmatan yang dipaparkan di portal https://psp.perkeso.gov.my.

Katanya, proses saringan boleh dilakukan di klinik atau makmal selain boleh dijalankan di premis pekerjaan.

“Pencarum yang pernah menjalani saringan PSP boleh menjalani saringan semula selaras dengan pengumuman yang dibuat.

“Majikan dan pekerja diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 agar proses berjalan dengan selamat dan tidak terdedah kepada risiko jangkitan,” katanya.

Jelasnya, sebarang pertanyaan lanjut boleh diemelkan ke hsp@perkeso.gov.my atau menghubungi 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.

Katanya, maklumat lanjut tentang program itu terdapat dalami soalan-soalan lazim (FAQ) bagi peluasan PSP Perkeso yang dimuat naik ke laman sesawang dan media sosial rasmi Perkeso, www.perkeso.gov.my.

Google+ Linkedin

1 Comment

  • Gunalan M.Ramakrishnan

    What about Grab drivers who also Perkeso contributers.
    Any such arrangements.
    We more exposed to the virus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*