Cukuplah berpolitik, tumpukan fokus terhadap kesejahteraan negara – Ketua Pemuda MIC gesa Tun Dr M dan Anwar

Cukuplah berpolitik, tumpukan fokus terhadap kesejahteraan negara – Ketua Pemuda MIC gesa Tun Dr M dan Anwar

KUALA LUMPUR, Okt 23: Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, Thinalan Rajagopalu menggesa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar berhenti bermain politik dan tumpukan fokus terhadap membantu negara dan rakyat mengherungi cabaran penularan wabak Covid-19 yang makin meruncing ketika ini.

“Lima bulan yang lepas, Tun Dr Mahathir telah meminta wakil rakyat Pakatan Harapan agar menolak sebarang bil yang diusulkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional, kecualilah usul tidak percaya terhadap kerajaan dibentangkan di Parlimen, walaupun pada ketika itu terdapat bil-bil berkait Covid-19 perlu dan wajib diluluskan demi faktor perundangan dan pentadbiran.”

 “Dan pada hari ini, Tun Dr Mahathir telah sekali lagi menubuhkan satu lagi parti baru, Pejuang – dan pemimpin-pemimpin Pejuang telah mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bagi memimpin negara sehingga PRU-15, sesuatu yang langsung tidak memeranjatkan.”

“Ini jelas mencerminkan ketaksuban kuasa Tun Dr Mahathir, walaupun secara terang-terang beliau tidak mampu dan tidak dapat meraih sokongan majoriti di Parlimen. Malah, ahli parlimen parti rakan sekutu Tun Dr Mahathir, Ram Karpal Singh dari DAP sendiri telah menzahirkan kekesalan terhadap kerjasama yang terjalin dengan mantan PM itu, dan melabelkan beliau sebagai seorang pembohong dan bersifat keterlaluan,” kata Thinalan di dalam kenyataan media beliau.

“Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga tidak banyak berbeza berbanding Tun Dr Mahathir. Di dalam misi berkepentingan peribadi beliau, yakni bagi menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau telah memesong perhatian negara dan rakyat dengan dakwaan kononnya beliau mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk Kerajaan. Apabila menghadap Yang Di Pertuan Agong, Anwar hanya mampu menyatakan nombor khayalan beliau tanpa sebarang bukti.”

“Jelas dan logiknya, ini adalah sandiwara Anwar sekali lagi bagi mengaburi mata rakyat, dan mengwujudkan persepsi palsu di kalangan rakyat dan negara luar,” tambah Thinalan lagi.

“Yang pastinya, Tun Dr Mahathir dan Anwar masing-masing beria-ia hendak menjadi PM Malaysia, dan jelas sekali kedua-duanya tidak akan dan tidak dapat bekerjasama.”

“Parti sekutu utama Pakatan Harapan, DAP pula bertekad bagi melaksanakan rang undang-undang anti melompat parti bagi wakil rakyat yang dipilih. Secara teorinya jika Anwar berniat bagi menubuhkan kerajaan dengan wakil rakyat yang melompat parti, apa pula pendirian DAP di dalam situasi ini? Bukankah tindakan Anwar bagai membelakangkan prinsip dan mengkhianati rakan setianya di dalam Pakatan Harapan?” soal Thinalan.

“Lupakan prinsip, lupakan pendirian, lupakan semangat setiakawan yang menjadi lumrah politik Anwar. Seandainya jika Anwar berjaya menubuhkan kerajaan dengan wakil rakyat yang melompat parti, apakah jaminan bahawa ianya akan menjadi kerajaan yang stabil dan kekal?”

“Sedarlah, situasi Covid-19 makin serius di peringkat global dan Malaysia. Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini berkuatkuasa di zon-zon merah, namun kadar penularan Covid-19 makin membimbangkan. Memang tidak dinafikan terdapat ruang dan keperluan bagi penambahbaikan prestasi dan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional. Namun, sebarang usaha terdesak bagi mengwujudkan ketidakstabilan politik demi kerakusan kuasa individu tertentu amatlah dikesali.”

“Maka, kami Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan menggesa Tun Dr Mahathir Mohammad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar mengenepikan agenda politik mereka dan tumpukan fokus terhadap pemulihan negara dari penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan rakyat,” seru Thinalan.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*