MP Klang saran kos ujian Covid-19 dikurangkan kepada RM50

MP Klang saran kos ujian Covid-19 dikurangkan kepada RM50

KLANG, Okt 23: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan mengurangkan kos ujian Covid-19 daripada RM150 kepada RM50 untuk penduduk yang tinggal di kawasan yang mencatatkan kes Covid-19.

Dalam surat kepada Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr Adham Baba semalam, Charles menyorot bahawa penduduk menjadi panik kerana semakin banyak kawasan berubah menjadi zon merah Covid-19 di Klang, dan mereka bimbang akan keselamatan mereka sendiri dan anggota keluarga mereka.

“Pejabat saya telah menerima makiuman bahawa beberapa kawasan perumahan telah merekodkan kes positif Covid-19 namun timbul persoalan mengapa saringan tidak dilaksanakan secara menyeluruh kepada penduduk berjiran atau berdekatan untuk mengetahui status mereka.

“Malahan penduduk kawasan mendapati mereka pula perlu menampung kos RM150 setiap seorang untuk saringan Covid-19 di hospital atau klinik kesihatan kerajaan.

“Sehubungan dengan itu, saya memohon pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia untuk mempertimbangkan pengurangan kos ujian saringan Covid-19 dari RM 150 kepada RM 50 bagi penduduk dari kawasan yang merekodkan kes positif Covid-19,” katanya.

Tambah pemimpin DAP itu, langkah berkenaan akan dapat menjamin keselamatan penduduk, mengurangkan risiko dijangkiti dan meringankan beban kewangan pada penduduk yang perlu membuat pemeriksaan Covid-19.

Klang adalah kawasan pertama di Selangor yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada 9 Oktober selepas negara dilanda gelombang ketiga penularan Covid-19.

Pada 14 Oktober, Putrajaya mengenakan PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

Sehingga tengah hari semalam, negara mencatatkan 23,804 kes Covid dan 204 kematian.

Kes aktif melebihi paras 8,000 buat pertama kalinya.

Sebanyak 26 daerah kesihatan dan 46 kawasan di seluruh Malaysia disenaraikan sebagai zon merah Covid-19 setakat 20 Oktober.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*