Banci 2020: Kurang 13.5% penduduk dibanci melalui e-Census setakat Okt

Banci 2020: Kurang 13.5% penduduk dibanci melalui e-Census setakat Okt

KUALA LUMPUR, Okt 29: Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau “e-Census” yang dilaksanakan sejak 7 Julai hingga 26 Okt lepas merekodkan sekitar 4.5 juta penduduk atau 13.4% daripada 32.7 juta rakyat Malaysia yang telah dibanci.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata antara negeri yang merekodkan bancian tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak dan Selangor manakala Sabah serta negeri di Pantai Timur masih berada di jajaran bawah daripada 10%.

“Penerimaan (banci) pada hari ini lebih kurang 50,000 tetapi unjuran kita adalah sekitar 80,000 hingga 90,000 penerimaan harian supaya kita boleh capai 40% hingga 50% penerimaan e-Census ini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata antara kekangan pelaksanaan “e-Census” yang disuarakan masyarakat ialah penerimaan kod pengisian dan soalan yang dianggap tidak relevan bagi sesetengah pihak.

“Macam isu kesukaran mendapatkan kod pengisian, apa yang kita lakukan di Jabatan Perangkaan ialah kita senaraikan seluruh tempat kediaman di Malaysia iaitu 9 juta tetapi apabila sistem menerima maklumat dari segi alamat yang diisi, proses padanan itu mengambil masa sehingga 3 hari kerana apa yang ada dalam sistem dan diisi orang ramai berbeza.

“Jadi apa yang kita lakukan ialah anggota di lapangan atau di negeri akan bantu orang ramai dengan adakan klinik e-Census bersama komuniti Rukun Tetangga dengan bergerak secara menyeluruh sebelum ini tetapi kini kita bergerak hanya di zon hijau melihat kepada penularan kes Covid-19,” katanya.

Uzir juga berkata soalan yang dikemukakan dalam Banci 2020 bukanlah daripada Jabatan Perangkaan sebaliknya pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta yang memerlukan maklumat untuk pelaksanaan dasar awam serta perancangan pembangunan negara.

“Jika dibandingkan pada 2010, soalan hanya 50 sahaja (namun) kali ini, sebanyak 108 soalan, soalan banci ini bukan untuk orang tertentu tetapi ia adalah menyeluruh untuk 32.7 juta rakyat Malaysia, mungkin ada soalan yang tidak relevan untuk sesetengah penduduk di bandar, misalnya mengenai kemudahan elektrik, air, pengangkutan dan sebagainya.

“Tetapi untuk penduduk di luar bandar, ia mungkin bermakna kerana dari situlah kerajaan dapat tambah baik dan tahu ke mana peruntukan kerajaan dapat disalurkan…mungkin ini perlu diterangkan dan dikemukakan di media sosial,” katanya.

Mengulas fasa ke-2 banci yang dijadualkan semula pada 20 Jan depan berikutan penularan Covid-19, Uzir berkata ia akan dilaksanakan selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Fasa ke-2, iaitu secara bersemuka, sebelum ini dirancang pada 7 hingga 24 Okt tetapi telah dijadual semula…kita harap jika tiada halangan, kita akan bergerak pada 20 Jan depan tetapi pada masa sama, apa juga keputusan dan apa yang perlu dilaksanakan, penekanan kita lebih kepada aspek keselamatan dalam suasana norma baharu termasuk mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*