Utamakan keselamatan, amalkan kesederhanaan, raikan Deepavali dengan ikhtiar baru – Ketua Pemuda MIC

Utamakan keselamatan, amalkan kesederhanaan, raikan Deepavali dengan ikhtiar baru – Ketua Pemuda MIC

KUALA LUMPUR, Nov 13: Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, Thinalan Rajagopalu hari ini menyaran masyarakat India Malaysia agar menyambut perayaan Deepavali dengan mengutamakan keselamatan dan mengamalkan kesederhanaan tatkala negara dan rakyat mengharungi cabaran impak penularan wabak Covid-19.

“Sama-samalah kita raikan Deepavali tahun ini dengan penuh keinsafan dan ikhtiar baru bagi mengecapi kecemerlangan dan kesempurnaan, merentasi segala cabaran dan dugaan sebagaimana hikmat Deepavali, iaitu kemenangan yang dicapai oleh kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan,” kata Thinalan melalui kenyataan media beliau.

“Deepavali di Malaysia tahun ini akan disambut dengan kebiasaan baharu, tetapi kegembiraan untuk menyambut pesta cahaya esok tidak akan berkurangan. Deepavali melambangkan kemenangan dewa Krishna menentang Narakasura yang jahat. Kemenangan atas kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan itu secara simboliknya merangkumi antara lain kemenangan atas kegelapan, kejahatan, kejahilan, korupsi dan penyakit.”

“Kita berhadapan dengan cabaran genting memerangi Covid-19 yang amat getir, dengan gelombang ketiga penularan dengan angka-angka harian yang amat membimbangkan. Maka, inilah masanya kita berkorban demi kesejahteraan negara dan bangsa. Tak usah kita bersedih, kita pasti akan meraikan Deepavali dengan keluarga tercinta dan dengan amalan kunjungan ke rumah terbuka rakan-rakan kita, sebagaimana perayaan-perayaan lain selepas kita berjaya memerangi sepenuhnya Covid-19,” kata Thinalan.

Kerajaan sebelum ini telah menggariskan SOP yang perlu dipantau semasa Deepavali apabila penganut agama Hindu menyambut pesta itu dalam kebiasaan baharu di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), termasuk larangan merentas daerah dan negeri, tatacara upacara sembahyang serta sambutan di kediaman.

“Saya juga mengambil kesempatan ini mengecam sekeras-kerasnya promosi produk alkohol syarikat Carlsberg sempena Perayaan Deepavali yang bagai mengaibkan kaum India, khasnya wanita India. Langsung tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif. Deepavali membawa makna yang besar, jangan melabelkannya dengan alkohol. Saya menggesa pihak Carlsberg agar menarik balik iklan promosi tersebut dengan serta-merta.”

“Semoga sambutan Deepavali tahun ini menjana ikhtiar dan azam bagi kita terus bertekad mengejar kecemerlangan. Kita pasti akan berjaya dengan semangat muafakat dan keharmonian yang menjadi teras tanahair tercinta kita. Selamat menyambut Deepavali!,” kata Thinalan.

Google+ Linkedin

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*