Belanjawan 2021 penting diluluskan bagi pastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam

Belanjawan 2021 penting diluluskan bagi pastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR, 18 Nov — Belanjawan 2021 amat penting untuk diluluskan dan signifikannya bukan semata-mata bagi memastikan gaji penjawat awam dapat dibayar, namun pada masa sama ia perlu agar sistem penyampaian perkhidmatan awam negara dapat berjalan dengan lancar. 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata pada masa ini penjawat awam dan perkhidmatan kerajaan mempunyai dua tugas penting iaitu memastikan usaha mencegah penularan COVID-19 berjaya dilaksanakan serta pemulihan ekonomi negara dapat dilakukan mengikut perancangan.

“Jika belanjawan ini gagal diluluskan, ia ibarat menghantar penjawat awam ke medan perang tanpa kelengkapan dan senjata yang mencukupi. Akhirnya segala usaha dan keringat kita semua tidak memberi kesan yang kita mahukan.

“Dalam hal ini rakyat juga akan terkesan kerana keselamatan dan kesejahteraan hidup dan ekonomi mereka juga bergantung kepada kejayaan negara bebas daripada COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Pada 6 Nov lepas, semasa pembentangan Belanjawan 2021 beberapa pihak mengemukakan tuntutan sebagai sokongan bersyarat kepada belanjawan itu yang dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen.

Adnan berkata jika belanjawan itu terus diheret untuk dijadikan modal politik semua pihak, sudah tentu ia memberi kesan kepada kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam terutama dalam menjadi pemudah cara kepada rakyat supaya dapat keluar daripada kemelut ekonomi ekoran penularan COVID-19.

Sehubungan itu, beliau berharap agar semua pihak tanpa mengira fahaman politik agar dapat mencari titik persefahaman dalam isu berkenaan yang semestinya mengutamakan rakyat.

“Rakyat adalah keutamaan kepada semua pihak ketika ini kerana hampir semua menerima kesan daripada penularan pandemik COVID-19. Jika sektor perkhidmatan awam terjejas akibat Belanjawan 2021, ia juga memberi kesan keseluruhan kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Intergriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan ia akan melumpuhkan jentera kerajaan dan sistem tadbir urus kerajaan tidak dapat dilaksanakan.

“Ini kerana kerajaan tidak akan mempunyai sumber kewangan pada tahun hadapan jadi kerana itulah Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan kepada semua anggota Dewan Rakyat untuk memberi perhatian bagi memastikan belanjawan ini diluluskan tanpa sebarang masalah.

“Walaupun ada kalangan mereka tidak bersetuju dengan sebahagian isi kandungan belanjawan ini, mereka perlu melihat dalam konteks luas kerana sekiranya kerajaan tidak dapat kelulusan dalam Belanjawan 2021 maka ia akan melumpuhkan pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sekiranya kerajaan lumpuh, beliau berkata ia sudah tentu akan memberi kesan kepada masyarakat, tambahan pula negara sedang dilanda COVID-19 iaitu kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan amat memerlukan peruntukan besar untuk mengekang penyebaran wabak itu.

“Beberapa agensi kerajaan lain juga bertanggungjawab memulihkan kedudukan ekonomi negara yang sangat terkesan akibat pandemik ini,” katanya. 

Pada 6 Nov lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu RM322.5 bilion.

— BERNAMA

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*