Pemuda MIC yakin Belanjawan 2021 mampu memacu pemulihan ekonomi negara

Pemuda MIC yakin Belanjawan 2021 mampu memacu pemulihan ekonomi negara

KUALA LUMPUR, Nov 26: Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan menyambut baik kematangan politik yang dipaparkan oleh ahli-ahli Parlimen kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang yang meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat.

“Persidangan hari ini sememangnya mencipta sejarah dengan konsensus majoriti Ahli Parlimen di dalam meluluskan Belanjawan 2021 yang akan memastikan segala agenda pemulihan ekonomi dan negara dilaksanakan secara lancar. Pergerakan Pemuda MIC ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang mengenepikan agenda politik mereka demi kesejahteraan rakyat dan negara,” kata Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan.

“Sememangnya Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Dato’ Seri Tengku Zafrul pada 6 November yang lepas mengundang pelbagai persoalan dan kritikan. Namun, kesediaan kerajaan untuk mendengar maklum balas dan cadangan kesemua pihak berkepentingan, seterusnya menambahbaik bajet mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.”

“Paling melegakan adalah perluasan Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 8 juta pencarum yang terjejas pendapatan mereka, setelah kriteria asal pengeluaran yang tidak mesra rakyat mendapat pelbagai reaksi negatif. Penambahbaikan yang lain seperti bantuan ‘one-off’ RM300 kepada semua petugas barisan hadapan termasuk polis dan tentera serta dana tambahan RM 50 juta bagi memerangi Covid-19 di negeri Sabah memang tepat pada masanya,” tambah Thinalan lagi.

Namun sedemikian, Thinalan berkata terdapat isu yang masih memerlukan perhatian dan tindakan kerajaan di dalam Belanjawan 2021.

“Khasnya peruntukan bagi pembangunan dan penyelenggaraan bagi sekolah Tamil telah dikurangkan bagi tahun 2021 berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kami berharap perkara ini diperhalusi dan peruntukan tambahan disediakan bagi memastikan infrastruktur dan persekitaran pembelajaran yang sempurna buat pelajar,” jelas Thinalan.

“Pemuda MIC juga kecewa dengan tindakan ahli-ahli Parlimen parti Amanah dan Pejuang yang cuba menggagalkan usul belanjawan pada hari ini. Tak usah lah menolak belanjawan hanya kerana anda adalah pembangkang. Ketepikanlah politiking dan politik kebencian tatkala negara mengharungi cabaran ekonomi dan Covid-19.”

“Walau apapun, titah DiRaja Yang Di Pertuan Agong telah dijunjung bersama oleh majoriti Ahli Parlimen, dan kebajikan dan kesejahteraan rakyat disantuni melalui konsep konsensus dan konsultasi. Semoga muafakat ini dapat memacu pemulihan negara dan rakyat dengan efektif,” ulas Thinalan. – The Sentral

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*