2021 akan menjadi lebih baik untuk beberapa sektor, menurut pemain industri

2021 akan menjadi lebih baik untuk beberapa sektor, menurut pemain industri

KUALA LUMPUR, 23 Dis  — Walaupun 2020 dicatatkan sebagai tahun yang penuh dengan kejutan dan peluang berikutan pandemik COVID-19, pemain industri menjangkakan 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik bagi industri tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Uni Enrol Malaysia, Rickson Khaw berkata beberapa industri dijangka akan berprestasi cemerlang pada tahun depan disebabkan mereka telah berusaha bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan mereka sebelum ini. 

”Sebagai contoh, perniagaan dengan produk atau perkhidmatan yang boleh diakses dalam talian akan berada pada paras tertinggi sepanjang masa pada tahun depan. Mereka telah memperbaiki apa yang kurang dan memberikan perkhidmatan yang lebih unggul,” katanya semasa webinar Cyberview Tech-Talk, ‘Business Flashback of 2020 and Insights towards 2021’ di sini hari ini. 

Khaw menjangkakan keadaan tidak banyak berubah dalam enam bulan pertama 2021 tetapi separuh kedua akan merekodkan pemulihan sehingga 70 peratus pada tahap sebelum COVID-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Govicle (dahulunya dikenali sebagai JomParkir) Muhamad Nasir berkata usaha ini amat berbaloi akhirnya dan penyelesaian tanpa tunai atau penyelesaian dalam talian akan menjadi salah satu perkara besar yang akan berlaku pada tahun depan.

Trend positif ini dijangka berterusan pada tahun depan, khususnya bagi penyelesaian tanpa tunai, perkhidmatan jarak jauh serta perkhidmatan yang berkaitan dengan teknologi. 

Pengarah Hal Ehwal Awam dan Dasar Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah berkata kebanyakan kesan COVID-19 yang berlaku terhadap transformasi digital adalah pecutan dalam kemajuan pergerakan pendigitalan.

“Pandemik ini mengajar kami bahawa perniagaan yang tidak didigitalkan tidak akan bertahan, dan peniaga tidak lagi boleh meletakkan pendigitalan sebagai pilihan. 

”Mengenai model ekonomi gig, ia dijangka kekal kerana ia telah menjadi sebahagian daripada ekonomi baharu atau normal baharu. Masalahnya ialah tiada siapa yang benar-benar memahami atau memberi takrifan yang betul sama ada dari kerajaan atau pemain industri,” katanya. 

Beliau berkata Grab Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan kegiatan gig ini adalah adil, inklusif dan mampan untuk semua.

”Untuk melakukan semua ini, perkongsian akan menjadi kunci kepada kami, kami mahu menjadi pemboleh. Sudah ada dakwaan yang menyatakan Grab amat dominan atau bersifat monopoli disebabkan perniagaan atau gabungan terdahulu tetapi pada hakikatnya dalam pengembangan kami, kami mahu menjadi pemboleh dan membantu negara serta pasaran,” katanya.

— BERNAMA

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*