Tugas utama kerajaan kini jamin kestabilan politik, penuhi harapan rakyat, kata Saifuddin

Tugas utama kerajaan kini jamin kestabilan politik, penuhi harapan rakyat, kata Saifuddin

KUALA LUMPUR, Jan 8: Tugas utama kerajaan pada masa ini ialah memastikan kestabilan politik bagi membolehkannya berfungsi dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab dengan baik bagi memenuhi harapan dan aspirasi rakyat, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin yang juga ketua Majlis Pimpinan PPBM Pahang berkata, rakyat kini berada dalam kesusahan dan menjadi tugas kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban dan membangunkan masa depannya.

“Rakyat menaruh harapan untuk kerajaan berkhidmat sehabis baik sebagai kerajaan yang prihatin, bukannya berpolitik tanpa akhiran,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin turut mengulangi pendirian sebulat suara Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang memberikan sokongan penuh kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, pengerusi PN dan presiden PPBM.

Katanya kesemua pihak kini hendaklah bersatu dalam saf kepimpinan dan membentuk parti yang padu dan kuat untuk bersama-sama membantu perdana menteri menangani pandemik COVID-19 dan mengemudi pemulihan ekonomi.

“Kedua-dua perkara ini adalah fokus kita pada masa ini. Meskipun kita juga berhadapan dengan krisis politik, tetapi ia kita hadapi dengan bijaksana dan tertib,” katanya.

Saifuddin turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan perdana menteri melantik beliau memegang kedua-dua jawatan itu.

Bagi negeri Pahang, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, tumpuan buat masa ini terarah kepada usaha membantu mangsa banjir dengan sekretariat PPBM Pahang menyalurkan bantuan ke kawasan yang terjejas banjir secepat mungkin.

Katanya mesyuarat Majlis Pimpinan PPBM Pahang juga akan diadakan secepat mungkin bagi meneruskan agenda perjuangan parti di peringkat negeri dan merangka proses pembangunan PN negeri itu.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*