Intervensi dasar, usaha pemulihan ekonomi memanfaatkan pasaran buruh – Menteri Sumber Manusia

Intervensi dasar, usaha pemulihan ekonomi memanfaatkan pasaran buruh – Menteri Sumber Manusia

PUTRAJAYA, Jan 14: Intervensi dasar ke atas pasaran buruh melalui pengenalan pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) telah menyumbang kepada pengekalan penempatan pekerjaan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Katanya, intervensi dilakukan melalui pakej rangsangan itu termasuk Program Subsidi Upah, Insentif Pengambilan Pekerja, Pengekalan Pekerjaan dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) Plus, selain inisiatif jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Saravanan berkata, Laporan Perspektif Pasaran Tenaga Buruh Suku Tahunan 2020: Pertumbuhan dan Pemulihan Pasaran Buruh menunjukkan prestasi ekonomi dan keadaan pasaran buruh dari suku pertama hingga suku ketiga bergerak selari mengikut Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penempatan pekerjaan.

“Kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan pula menunjukkan pergerakan ke arah yang bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laporan itu yang dihasilkan oleh KSM dengan kerjasama EIS, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), aliran berbentuk rombus itu menunjukkan tanda positif dalam aspek pemulihan ekonomi dan pasaran buruh.

Oleh itu, katanya, usaha pemulihan ekonomi pada 2020 telah memberi manfaat kepada pasaran buruh dengan penurunan ketara kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

“Intervensi ke atas permintaan pasaran buruh melalui perbelanjaan awam yang bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna secara langsung dan tidak langsung telah berjaya mengekal dan mencipta peluang pekerjaan di beberapa sektor ekonomi,” katanya.

Saravanan berkata, penambahbaikan dalam pasaran buruh dijangka mencapai momentum yang lebih baik dalam suku keempat 2020 dengan kadar pengangguran pada suku itu diunjur pada kadar 4.69 peratus dan kehilangan pekerjaan dijangka mencecah 22,560.

“Walaupun maklumat pasaran buruh pada suku ketiga 2020 menunjukkan tanda-tanda pemulihan, masih terdapat ketidakpastian dan ketidakcekapan dalam pasaran buruh yang memerlukan intervensi khusus,” katanya.

Beliau berkata tiga perkara utama perlu diberi perhatian termasuk golongan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET) yang mudah terjejas dalam mengekalkan pekerjaan kerana dilihat tidak imun terhadap krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Malah, kadar kehilangan pekerjaan untuk kategori PMET adalah yang tertinggi tetapi mempunyai kadar penempatan pekerjaan yang paling rendah berbanding kategori bukan PMET,” katanya.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*