Pengisytiharan darurat tidak berlawanan prinsip demokrasi negara

Pengisytiharan darurat tidak berlawanan prinsip demokrasi negara

KUALA LUMPUR, 14 Jan  — Pengisytiharan darurat yang dilakukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sama sekali tidak berlawanan dengan prinsip demokrasi negara, malahan perkara itu jelas termaktub di dalam Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, isi kandungan Perlembagaan itu jelas memperuntukkan, adalah menjadi satu keperluan untuk pengisytiharan darurat berkenaan dilakukan sekiranya aspek keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam, terkesan ataupun terancam.

Menurutnya, pengisytiharan darurat itu hanya bermatlamatkan satu perkara iaitu, membendung dan mengurangkan penularan wabak pandemik COVID-19.

“Pengisytiharan darurat ini juga akan memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan lebih baik, tanpa sebarang gangguan dan tindakan politik tidak bertanggungjawab daripada mana-mana pihak, yang sama sekali menjejaskan usaha untuk mengurangkan ancaman COVID-19 dan memperkukuhkan kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal, jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sementara itu, Kamarudin berkata pengisytiharan darurat itu juga bukanlah satu indikasi bahawa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Mengambil iktibar atas apa yang terjadi pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, Perdana Menteri  tidak mahu lagi mengambil keputusan politik, yang akan memberi lebih banyak mudarat berbanding manfaat kepada rakyat, selaras dengan prinsip hifz al-nafs dalam Maqasid Syariah.

“Malahan, Perdana Menteri juga telah memberi jaminan, bahawa PRU akan diadakan sejurus keadaan wabak pandemik di negara ini mulai reda dan pulih sepenuhnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Sehubungan itu katanya, amat penting bagi semua pihak tanpa mengira prinsip dan ideologi politik, mengetepikan seketika tindakan politik dan bersama kerajaan berganding bahu, memutuskan rantaian wabak pandemik itu dengan kadar segera.

Sebaliknya beliau berkata, bersama-samalah memainkan peranan selaku wakil yang dipilih, untuk membantu memudahkan urusan rakyat dan mengurangkan bebanan rakyat, serta bekerjasama dengan kerajaan dalam melawan COVID-19.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*