Keangkuhan MB Kedah bagai tiada penghujung, Naib Presiden MIC gesa kepimpinan PAS disiplinkan Sanusi

Keangkuhan MB Kedah bagai tiada penghujung, Naib Presiden MIC gesa kepimpinan PAS disiplinkan Sanusi

KUALA LUMPUR, Jan 21: Naib Presiden MIC Dato’ T. Murugiah menggesa kepimpinan pusat parti PAS mendisiplinkan Menteri Besar Negeri Kedah Mohammad Sanusi Md Nor yang keangkuhan serta tindakan provokatifnya bagai tiada penghujung.

“Tindakan melulu Sanusi membatalkan cuti peristiwa Thaipusam Negeri Kedah dengan alasan tiada sambutan perayaan tersebut semasa Perintah Kawalan Pergerakan jelas mencerminkan penguasaan dan kepekaan cetek beliau terhadap adat dan amalan masyarakat majmuk Malaysia. Penganut Hindu masih perlu menjalankan upacara sembahyang dan nazar di kediaman mereka.”

“Sudahlah membuat keputusan yang tidak sensitif dan tidak rasional, apabila MIC mempersoalkan isu tersebut, kami dilabelkan sebagai mempolitikkan isu keselamatan rakyat serta bersekongkong dengan DAP. Apakah Sanusi tiada modal politik lain dari menyentuh isu-isu berkait masyarakat India serta memperlekehkan MIC?” soal Murugiah.

Kontroversi pembatalan cuti peristiwa Thaipusam oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah isu terbaru yang menggugat kerjasama parti MIC dan PAS. Sebelum ini Sanusi turut menyatakan parti MIC patut diharamkan kerana MIC kononnya menghasut rakyat melanggar undang-undang, dan menggelar pemimpin MIC sebagai celupar dan mencari populariti, apabila MIC mempersoalkan isu perobohan kuil di negeri Kedah.

“Jangan biarkan tindakan Sanusi terus menggugat keharmonian yang kita kecapi selama ini. Kerjasama MIC-PAS yang terjalin di atas ilham Tan Sri SA Vigneswaran dan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang makin menjana keterbukaan masyarakat India di dalam menerima parti PAS, parti yang mereka anggap fanatik dan hindari sebelum ini,”

“Presiden PAS sendiri yang telah memberi jaminan bahawa partinya rasional dan menghormati kepercayaan agama lain, sebagaimana yang dipraktikkan di negeri Kelantan dan Terengganu. Namun, keadaannya songsang di Kedah, mungkin sebab MB baru cuba berpolitik bersandarkan isu-isu sensitif,” kata Murugiah.

“Kepimpinan PAS tidak harus berdiam diri lagi, dan tampil dengan pendirian mereka terhadap tindak tanduk MB Kedah yang makin terlanjur. MIC lebih rela kekal berjuang buat masyarakat dari kerjasama politik yang tidak jitu,” tegas Murugiah.

Google+ Linkedin

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*