Pemuda MIC Kedah gesa MB lebih sensitif, kembalikan cuti peristiwa Thaipusam

Pemuda MIC Kedah gesa MB lebih sensitif, kembalikan cuti peristiwa Thaipusam

ALOR SETAR, Jan 22: Pergerakan Pemuda MIC Negeri Kedah hari ini menggesa Menteri Besar Negeri Kedah Mohammad Sanusi Md Nor untuk mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri  Kedah untuk tidak meneruskan cuti peristiwa sempena Hari Thaipusam pada 28 Januari  ini.

“Kami berasa kesal dengan keputusan MB Kedah seperti seolah-olah tidak menghormati sensitiviti dan tidak peka terhadap masyarakat India di negeri Kedah. Hari Thaipusam merupakan cuti peristiwa bagi negeri Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya dan Selangor.  Walaubagaimanapun negeri-negeri tersebut tidak membatalkan cuti berkenaan hanya kerana larangan sambutan itu turut  dikenakan di negeri terbabit.”

“Walaupun negara dalam perlaksanaan PKP,  ini tidak bermakna Thaipusam ini tidak boleh diraikan di rumah bersama ahli keluarga. Hari Thaipusam ini bukan tertumpu kepada mengunjungi rakan-rakan mahupun ahli keluarga tetapi lebih kepada menunaikan sembahyang dan membayar nazar,” kata Jeevabalan Jayaraman, Ketua Pergerakan Pemuda MIC Negeri Kedah.

Jelas Jeevabalan lagi, dalam tempoh Pandemik Covid 19 ini, setiap perayaan atau hari keagamaan tidak terbatal kerana setiap perayaan mempunyai nilai tersendiri bagi sesuatu kaum.

“Persoalannya di sini, apakah logik yang diguna pakai oleh  MB Kedah tidak meneruskan cuti peristiwa sempena Thaipusam dalam tempoh PKP ini memandangkan perayaan atau hari keagamaan masih berjalan seperti biasa namun cara dan kaedahnya berbeza dalam tempoh pandemik ini?”

“Kami juga ingin meminta penjelasan berkenaan kenyataan beliau yang menyatakan beliau telah berjumpa dengan tiga kumpulan masyarakat India mewakili penganut Hindu dan menjelaskan mengenai keputusan tidak meneruskan pemberian cuti peristiwa sempena Thaipusam. Adakah benar kenyataan tersebut atapun ia semata-mata sandiwara politik?” soal Jeevabalan.

Tambah Jeevabalan, kenyataan MB Kedah yang sering membandingkan komposisi masyarakat India 6.8 peratus di Kedah dan menidakkan hak masyarakat  6.8 peratus ternyata mengguris hati masyarakat India. Dan jika dibandingkan dengan Kerajaan Barisan Nasional yang telah menghormati masyarakat India Kedah dan memulakan tradisi cuti peristiwa sempena Thaipusam ternyata amat jauh dihargai dan dihormat tinggi.

“Kami, Pergerakan Pemuda MIC Negeri Kedah menggesa MB Negeri Kedah untuk meneruskan tradisi 7 tahun pemberian cuti peristiwa Hari Thapusam dan menyeru beliau agar lebih sensitif dan peka terhadap hal ehwal masyarakat India,” kata Jeevabalan.

Google+ Linkedin

1 Comment

  • Taasvinaa

    Betul. Thaipusam bukan sambutan perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali dan Gong xi fa cai. Ianya adalah sambutan perayaan yang lebih kepada menunaikan solat sembahyang, dan ianya boleh dilakukan bersama ahli keluarga masing² ketika dalam keadaan darurat bagi mengelakkan penularan penyakit yang boleh menyebabkan maut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*