Pelabur asing jual ekuiti tempatan bernilai RM288.2 juta minggu lepas

Pelabur asing jual ekuiti tempatan bernilai RM288.2 juta minggu lepas

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Pelabur asing menjual ekuiti tempatan bernilai RM288.2 juta bersih pada minggu ketiga 2021 berbanding dengan RM326.1 juta yang dibeli pada minggu sebelumnya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata dagangan minggu lepas bermula dengan prestasi agak lembap kerana pelabur antarabangsa menjual RM57.2 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin, selepas melakukan pembelian selama tujuh hari berturut-turut di Bursa Malaysia.

Sentimen pada Isnin adalah positif dalam keadaan ekonomi China menumpukan pemulihan kepada kadar pertumbuhan sebelum pandemik semasa suku keempat 2020, mendorongnya merekodkan pengembangan setahun penuh pada 2.3 peratus dan menjadikan ia satu-satunya yang utama mengelakkan penguncupan.

Bagaimanapun, wujud aktiviti penjualan saham perbankan tempatan di Bursa Malaysia di tengah-tengah spekulasi penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu.

“Kadar aktiviti penjualan oleh pelabur asing berkurangan kepada RM14.8 juta bersih pada Selasa, memandangkan para pelabur memberi petunjuk kenaikan 2.7 peratus yang dicatatkan Indeks Hang Seng Hong Kong, didorong oleh pelabur China, yang menyasarkan syarikat nasional seperti China Mobile Ltd yang sebelumnya dijual pada harga lebih rendah susulan pengenaan sekatan oleh Amerika Syarikat,” katanya kepada Bernama.

Adam berkata penguncupan aktiviti penjualan bersih asing berterusan pada Rabu sehingga mencecah RM8.9 juta susulan BNM mengekalkan kadar faedah penanda aras tidak berubah pada paras terendah 1.75 peratus semasa mesyuarat pertamanya tahun ini.

Langkah itu meredakan kebimbangan pelabur, yang secara khusus mempunyai pendedahan dalam saham perbankan, kerana OPR yang tidak berubah akan mengurangkan risiko tekanan margin faedah bersih ke atas bank.

“Keputusan terbaru oleh BNM mengekalkan OPR itu turut menunjukkan bank pusat mungkin mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat terhadap tindak balas perniagaan ke atas pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan pada 18 Jan, 2021,” katanya.

Sementara itu, situasi kelam-kabut berlaku pada Khamis berikutan dana antarabangsa merosot RM117.7 juta bersih ekoran penjualan pada harga rendah di kaunter-kaunter sarung tangan getah.

Adam berkata sentimen suram dalam saham sarung tangan getah pada Khamis adalah susulan kenaikan ringgit berbanding dolar AS sebanyak 0.4 peratus yang boleh menjejaskan perolehan pembuat sarung tangan getah memandangkan produk mereka dieksport ke negara-negara lain.

Aliran keluar bersih asing sebanyak RM89.7 juta berlaku pada Jumaat kerana minat risiko semakin berkurangan ekoran laporan bahawa Hong Kong merancang untuk melaksanakan sekatan bagi puluhan ribu penduduknya buat kali pertama bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 yang semakin teruk.

Bagaimanapun, beliau berkata minat belian di kaunter sarung tangan getah kembali meningkat pada Jumaat susulan jumlah kes jangkitan COVID kekal tinggi, sekali gus mengekang aktiviti penjualan seterusnya oleh dana asing.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, menerusi nota penyelidikannya, menjelaskan sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit ialah satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan dengan nilai RM1.16 bilion.

Institusi tempatan dan pelabur asing merupakan penjual bersih masing-masing bernilai RM862.97 juta dan RM299.09 juta.

“Berbanding dengan tiga pasaran Asia Tenggara lain yang kami perhatikan minggu lepas — Thailand dan Indonesia mencatatkan aliran masuk bersin asing sementara Filipina dan Malaysia mengalami aliran keluar bersih,” menurutnya.

Dari segi penyertaan, para pelabur runcit mencatatkan penurunan mingguan nilai dagangan harian purata (ADTV) sebanyak 9.49 peratus manakala pelabur asing dan institusi tempatan merekodkan penurunan mingguan ADTV masing-masing sebanyak 23.16 peratus dan 7.66 peratus.

— BERNAMA

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*