‘Dermawan muda’ R. Praviin keluar duit poket bantu orang susah melalui Food Bank

‘Dermawan muda’ R. Praviin keluar duit poket bantu orang susah melalui Food Bank

PORT DICKSON, 4 Feb — Prihatin dengan nasib keluarga susah, seorang pemuda mengambil inisiatif mewujudkan ‘Food Bank’ sendiri menggunakan duit poketnya bagi membolehkan mereka yang memerlukan tidak kelaparan.

Anak kelahiran Port Dickson, R. Praviin, 20, berkata projek berkenaan telah dimulakannya sejak empat tahun lepas ketika masih menuntut di tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini.

‘Dermawan muda’ itu berkata semuanya bermula apabila beliau terkesan dengan nasib rakan sekolah yang datang daripada keluarga susah dan sejak itu dengan bantuan guru, beliau mula membantu menyumbangkan makanan asas seperti beras, gula, tepung, susu dan minyak masak dari rumah ke rumah.

“Ketika zaman persekolahan, saya dibekalkan oleh ayah belanja sekolah sebanyak RM20 seminggu dan daripada jumlah itu, saya menyimpan sebanyak RM13 bagi tujuan menderma dan berjaya mengumpul sekitar RM100 hingga RM200 sebulan. Ketika itu, saya hanya mampu membantu 10 keluarga susah yang terpilih di daerah ini. 

“Bagi menambah dana, saya juga ada buat kerja sampingan seperti mencuci kereta. Saya tidak mampu membantu dalam skala yang besar, jadi saya buat sekadar mampu dengan misi tidak mahu ada yang berlapar di Port Dickson,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat pada masa akan datang, anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata setakat ini dua ‘Food Bank’ telah berjaya diwujudkannya iaitu di Batu 9, Teluk Kemang dan di Taman Mewah, Jalan Pantai, di sini.

“Saya memang suka membantu orang ramai…saya nak bantu dari segi pendidikan, makanan dan misi saya nak jadikan Port Dickson satu daripada daerah sifar lapar,” katanya dan menambah inisiatifnya itu turut disokong keluarga.

Praviin yang kini bekerja di kedai membaiki penyaman udara milik bapanya yang terletak di Batu 9 Teluk Kemang di sini turut mengalu-alukan sumbangan pihak lain bagi membantu mereka yang susah.

Beliau yang kini menerima upah sebanyak RM1,000 sebulan telah memperuntukkan sebanyak RM400 bagi keperluan ‘Food Bank’ yang dilaksanakannya.

“Setakat ini inisiatif yang saya lakukan mendapat maklum balas positif daripada masyarakat setempat dan mereka yang memerlukan. Saya juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak yang ingin tampil menghulurkan bantuan, boleh menghubungi melalui talian 017-3234033,” katanya.

— BERNAMA

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*