Kementerian Sumber Manusia siasat dan selesai kes video viral J&T Express

Kementerian Sumber Manusia siasat dan selesai kes video viral J&T Express

PUTRAJAYA, Feb 12: Susulan penularan video di media sosial pada 4 Februari 2021 mengenai tindakan beberapa orang pekerja syarikat J&T Express (Malaysia) Sdn. Bhd [syarikat] yang telah menguruskan pemunggahan bungkusan (parcel) secara kasar sebagai protes terhadap pihak majikan, pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah menjalankan siasatan terhadap beberapa buah premis perniagaan syarikat yang terletak di Perak, Melaka, Johor dan Selangor.

Hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku di sebuah premis perniagaan syarikat yang terletak di Perak dan ia berpunca daripada bebanan kerja yang dialami oleh pekerja-pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan.

Siasatan turut mendapati terdapat di kalangan pekerja-pekerja terutamanya di bahagian penghantaran (despatch) tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan pekerja yang terlibat berkurang.  

Pihak majikan memaklumkan bahawa isu berhubung kejadian pekerja memunggah bungkusan secara kasar telah selesai dan ia berlaku disebabkan  salah faham. J&T telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan serta menjelaskan tentang sistem pemberian bonus kepada kakitangan yang menjadi punca ketidakpuasan hati kakitangan J&T.

Kementerian Sumber Manusia menggesa para majikan supaya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang melibatkan kepentingan pekerja. Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*