DidikTV sasar bantu pelaksanaan PdPR bagi 5 juta pelajar

DidikTV sasar bantu pelaksanaan PdPR bagi 5 juta pelajar

PUTRAJAYA, Feb 17: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memahami keresahan rakyat khususnya pelajar ketika ini yang dilihat sukar mendapatkan pendidikan formal di sekolah, susulan penularan Covid-19 yang menyebabkan Putrajaya mengambil keputusan menutup sesi persekolahan.

Muhyiddin berkata, antara usaha memberikan pendidikan kepada hampir lima juta pelajar sekolah di seluruh negara, kerajaan bersetuju mewujudkan satu saluran khusus siaran TV Pendidikan, yang dipercayai dapat membantu pelaksanaan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran dihadapi murid, guru dan ibu bapa dalam situasi sukar ini. Kerajaan sedar keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar ini, termasuk hal berkaitan pendidikan anak-anak.

“Saya yakin DidikTV KPM (Kementerian Pendidikan) akan dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak,” katanya ketika melancarkan DidikTV.

Beliau berkata, DidikTV KPM akan menyiarkan program berteraskan kurikulum dan kokurikulum. Malah, saluran itu akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan dari peringkat pra sekolah hingga tingkatan enam.

“Ia juga akan melibatkan program bercorak didik hibur serta kandungan dihasilkan oleh murid. Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, segala usaha dilakukan itu masih memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan ibu bapa, bagi melaksanakan tanggungjawab dan menjayakan agenda besar pendidikan negara.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata, saluran khusus DidikTV akan melibatkan lebih banyak program yang dipercayainya penting dalam usaha mewujudkan sahsiah, memahami dunia lebih luas dan menunjukkan bakat pelajar.

“DidikTv ini bermula dari 7 pagi hingga 12 tengah malam, banyak masa yang boleh dilakukan bagi mengisi masa berkenaan. Kalau tengok subjek sekolah, dari darjah satu hingga darjah enam, tingkatan satu hingga tingkatan enam, jadi hendak susun subjek secara menyeluruh ini merupakan satu cabaran dihadapi.

“Tetapi, dalam tempoh masa ini tumpuan yang kita berikan adalah lebih sedikit kepada murid yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kita ingin beri ruang kepada mereka untuk dapat peluang mendengar dan belajar dari guru yang berpengalaman dalam membuat persediaan SPM,” katanya.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*