Saya impikan masyarakat adil, lebih setara – Najib

Saya impikan masyarakat adil, lebih setara – Najib

KUALA LUMPUR, Feb 23: Dato’ Seri Mohd Najib Razak berharap rakyat akan mengenangnya atas usaha merapatkan jurang pendapatan di negara ini dan membina masyarakat lebih adil.

Ketika diminta mengulas mengenai bagaimana beliau ingin dikenang, perdana menteri keenam itu juga ingin dilihat sebagai seorang pemimpin yang mengukuhkan kewangan negara dan menyediakan jaringan pengangkutan lebih baik.

“Kita mesti menjaga kebajikan rakyat,” kata beliau dalam wawancara bersama Astro Awani disiarkan malam tadi.

“Selain itu, saya tidak mahu jurang pendapatan terlalu ketara antara orang kaya dan miskin. Saya mahukan masyarakat yang adil dan yang lebih setara. Itulah impian saya sebenarnya.”

Sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno, Najib berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2009 hingga BN kalah kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.

Sebelum kejatuhannya, Najib dituduh melakukan rasuah melalui skandal kewangan 1MDB dan kemudian disabitkan kesalahan atas tujuh tuduhan rasuah melebihi RM42 juta dana milik bekas anak syarikat 1MDB.

Dalam wawancara itu, Najib berkata, beliau ingin rakyat menganggap Dasar Transformasi Nasional sebagai puncak kegemilangannya dalam tempoh sembilan tahun pentadbirannya, inisiatif diperkenalkannya pada 2010 yang bertujuan menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi pada 2020.

“Saya mahu rakyat melihat bahawa dalam sembilan tahun saya sebagai PM, Dasar Transformasi Nasional yang saya bawa menghasilkan perubahan. Bukan perubahan biasa tetapi perubahan struktur di negara kita,” kata beliau.

“Dari segi kewangan negara .. lebih kukuh. Saya menyusun semula pengangkutan awam dan dari segi rangkaian, ia dapat dirasakan oleh semua rakyat di semua negeri. Seperti melaksanakan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

“Saya telah melakukan banyak perkara dan matlamat saya adalah untuk memastikan Malaysia dapat menjadi ekonomi maju dan berpendapatan tinggi,” kata Najib, yang juga menteri kewangan semasa pentadbirannya sebagai perdana menteri.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*