Lebih 185,000 individu perolehi pekerjaan melalui inisiatif MyFutureJobs – Menteri Sumber Manusia

Lebih 185,000 individu perolehi pekerjaan melalui inisiatif MyFutureJobs – Menteri Sumber Manusia

KUALA LUMPUR, Feb 25: Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs, yang mula berfungsi sejak Jun tahun lalu telah berjaya membantu 185,493 individu memperolehi pekerjaan sehingga kini, menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan..

“Jumlah ini mencerminkan kesan positif pemulihan ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia  yakin dengan kerjasama semua pihak terbabit, bilangan peluang pekerjaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” kata Saravanan selepas perasmian Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 dan Pelancaran Portal MYFutureJobs yang berlangsung secara atas talian hari ini.

Tambah Saravanan, seramai 146,258 individu diambil bekerja oleh majikan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja atau PenjanaKerjaya sehingga 23 Februari lalu, yang melibatkan 18,653 majikan. Sehingga kini, lebih RM354.34 juta telah dibayar sebagai insentif di bawah Program PenjanaKerjaya 1.0 dan 2.0.

KSM menganjurkan Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 bermula Selasa, 23 Februari 2021 sehingga Jumaat, 26 Februari 2021. Perasmian karnival pada hari ini menyaksikan pelancaran Portal MYFutureJobs, yang memainkan peranan penting menyokong Program PenjanaKerjaya. Seramai 78 majikan mengambil bahagian dalam karnival maya ini di mana lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

Karnival ini turut memperkasakan usaha KSM dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat melalui beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Microsoft Malaysia, Junior Achievement dan Brickfields Asia College (BAC) bertujuan memantapkan usahasama dalam meningkatkan peluang pekerjaan melalui portal MYFutureJobs yang diuruskan oleh PERKESO.

”Sempena Karnival PenjanaKerjaya tahun ini, satu inisiatif baharu iaitu #TogetherWeStand, yang diilhamkan bersama oleh KSM dan Kementerian Kewangan, telah diperkenalkan bertujuan mengalakkan majikan-majikan berganding bahu dengan kerajaan dalam menangani kadar pengangguran negara.”

“KSM komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab menyediakan pelbagai platform bagi memadankan kekosongan jawatan dan pencari kerja melalui pelbagai inisiatif yang telah dirancang untuk sepanjang  tahun ini,” tambah Saravanan lagi.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*