Perlindungan buat pemandu bas terjamin melalui skim SKSPS PERKESO – Menteri Sumber Manusia

Perlindungan buat pemandu bas terjamin melalui skim SKSPS PERKESO – Menteri Sumber Manusia

PUTRAJAYA, Feb 25: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hari ini berkata penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Pemandu bas) (Pindaan) 2021 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia akan memastikan perlindungan buat semua pemandu bas yang bekerja sendiri.

“Dengan penguatkuasaan ini, semua pemandu bas yang bekerja sendiri di seluruh negara diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.”

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pemandu bas boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Saravanan.

Sehingga 24 Februari 2021, seramai 81,331 pencarum aktif direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS PERKESO dan ini termasuk 1,346 pemandu bas.

Mulai 1 Jun 2017, PERKESO telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.

“Selaku Menteri bertanggungjawab, saya ingin menyeru semua pemandu bas serta orang bekerja sendiri yang layak agar segera mendaftar dan mencarum bagi memastikan anda mendapat perlindungan di bawah SKSPS.”

“Sehingga kini, sebanyak RM2.35 juta faedah SKSPS telah dibayar kepada orang bekerja sendiri termasuk orang tanggungan mereka apabila pencarum mengalami kemalangan atau meninggal dunia akibat bencana pekerjaan,” tambah Saravanan lagi.

Google+ Linkedin

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*