Kerajaan kaji ambil semula pekerja asing bagi sektor kerjaya yang tidak diminati warga tempatan – Menteri Sumber Manusia

Kerajaan kaji ambil semula pekerja asing bagi sektor kerjaya yang tidak diminati warga tempatan – Menteri Sumber Manusia

KUALA LUMPUR, Apr 12: Kerajaan akan mengkaji pengambilan semula pekerja asing bagi sektor-sektor tertentu di negara ini yang tidak diminati pekerja tempatan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau menjelaskan, ia berikutan terdapat permintaan pihak majikan dalam sektor-sektor seperti perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan.

Saravanan berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan semua pihak berkenaan sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Terdapat hampir 400,000 peluang pekerjaan masih tidak diisi dalam empat bidang ini,” kata beliau dalam sidang media selepas menghadiri Program Kerjaya Urban Poor (UP) di Pusat Komuniti Setiawangsa hari ini.

Kata Saravanan, beliau risau dengan keadaan pihak majikan yang sukar mendapatkan pekerja bagi sektor 3D iaitu pekerjaan kotor, sukar dan bahaya, sekalipun semua pekerjaan tersebut masih terbuka buat rakyat tempatan.

Kerajaan kini membekukan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor.

Sementara, itu Saravanan berkata, 34,283 peluang pekerjaan telah ditawarkan 164 majikan sepanjang Program Kerjaya UP anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang dijalankan di 10 negeri sejak 1 April lalu.

“Ini termasuk Kerjaya UP yang diadakan hari ini, yang menyaksikan 10,592 jawatan kosong disediakan oleh 39 majikan,” kata beliau.

Selain daripada temuduga kerja, Program Kerjaya UP turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya, klinik penghasilan resume dan temuduga, kaunter sesi pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, khidmat nasihat keusahawanan & kewangan, latihan kerjaya dan pendaftaran e-Kasih.

Google+ Linkedin

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*