Aspirasi mahasiswa disantuni kepimpinan MIC

Aspirasi mahasiswa disantuni kepimpinan MIC

KUALA LUMPUR, Apr 25: Pemerkasaan masyarakat India melalui bidang pendidikan terus menjadi agenda utama parti MIC, terbaru melalui usaha menyantuni aspirasi golongan mahasiswa serta menjana penglibatan mereka di dalam pembangunan komuniti.

Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran bersama timbalan beliau Datuk Seri M. Saravanan telah bertemu lebih 100 orang pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara  di ibu pejabat MIC di sini semalam bagi tujuan tersebut.

“Sesi dialog yang berlangsung amatlah berjaya dengan perkongsian idea-idea bernas dari kesemua pihak yang hadir. Pemimpin mahasiswa yang hadir telah mengutarakan pelbagai isu yang mereka hadapi serta kesediaan mereka di dalam menjana kecemerlangan masyarakat sebagai pemimpin masa hadapan.”

“Tan Sri Vigneswaran telah berkongsi visi dan misi beliau demi pembangunan masyarakat India, di samping perjuangan serta pencapaian MIC sejak lebih tujuh dekad yang lepas dengan fakta. Sejarah dan kebenaran ini perlu dihayati oleh generasi muda,” kata Saravanan yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia.

Menurut Saravanan, pelbagai inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan oleh parti MIC di dalam misi membentuk masyarakat berilmu turut diperjelaskan kepada pemimpin mahasiswa tersebut.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin pelajar yang hadir di atas komitmen mereka terhadap isu-isu masyarakat. Mereka berani tampil menyuarakan aspirasi, keperluan serta kritikan secara terbuka. Kita akan terus mengadakan sesi runding dan dialog bersama semua pihak berkepentingan demi manfaat dan masa hadapan masyarakat,” tambah Saravanan lagi.       

Google+ Linkedin

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*