Golongan M40 jangan diabaikan, Pemuda MIC saran penambahbaikan inisiatif Pemerkasa+, i-Sinar dan i-Lestari Fasa 2

Golongan M40 jangan diabaikan, Pemuda MIC saran penambahbaikan inisiatif Pemerkasa+, i-Sinar dan i-Lestari Fasa 2

KUALA LUMPUR, Jun 1: Pegerakan Pemuda MIC Kebangsaan hari ini menyaran agar inisiatif Pemerkasa+ yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam diteliti dan ditambahbaik bagi menyantuni golongan M40 yang turut terkesan akibat impak penularan Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ketika ini.

“Pengumuman Perdana Menteri berkenaan pakej bantuan Pemerkasa+ memang tepat pada masanya, dan kami menyambut baik inisiatif-inisiatif yang disenaraikan seperti tambahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi golongan B40, tambahan Geran Khas Prihatin (GKP) bagi pengusaha kecil dan sederhana (PKS), peruntukan tambahan kepada sektor kesihatan bagi menangani penularan Covid-19, moratorium pinjaman bersasar tiga bulan bagi kumpulan B40, lanjutan program subsidi upah, fasiliti pembiayaan mikro kredit dan sebagainya.”

“Namun sedemikian, kami menerima keluhan dan rintihan dari akar umbi bahawa rata-rata golongan M40 bagai diabaikan keperluan mereka. Kita perlu ingat bukan golongan B40 sahaja yang terkesan dan memerlukan bantuan, malah golongan M40 juga turut mengharungi kekangan ekonomi. Ada di antara mereka bukan lagi berstatus M40 akibat pemotongan gaji, kehilangan kerja mahupun rezeki perniagaan yang terjejas,” kata Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan.

“Kami Pemuda MIC menyaran agar syarat bantuan BPR dikaji semula agar golongan M40 yang terkesan turut mendapat bantuan tersebut. Walaupun bukan moratorium automatik dan menyeluruh seperti yang diharapkan diumumkan, sekurang-kurangnya moratorium bersasar haruslah meliputi golongan M40 juga.”

“Berbalik kepada BPR, ramai yang menerima bantuan fasa 1 dinafikan bantuan fasa 2 dengan alasan mereka menerima GKP. Penerima GKP tidak semestinya menikmati rezeki yang melimpah melalui PKS yang mereka usahakan. Bagaimana mereka layak menerima bantuan fasa 1, dan tiba-tiba tidak layak bagi fasa 2?,” soal Thinalan.

Merujuk kepada peruntukan RM 1.5 billion bagi pinjaman mikro-kredit, Thinalan berharap tiada syarat ketat dan karenah birokrasi di dalam proses dan prosedur permohonan.

”Pemuda MIC sebelum ini pernah membangkitkan keluhan usahawan yang gagal permohonan pinjaman mikro kredit mereka dengan pelbagai alasan, dan ada yang tanpa sebarang alasan sama sekali. Berbillion ringgit pinjaman mikro-kredit telah diumumkan melalui pakej Prihatin, Penjana, Permai dan Pemerkasa. Mustahil golongan usahawan dapat memenuhi kriteria ketat pada ketika situasi ekonomi yang meruncing. Longgarkan syarat, beri peluang kepada mereka mengurus dan mengatur strategi niaga melalui pinjaman mikro-kredit.”

“Kerajaan juga harus mempertimbangkan skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar fasa kedua, sesuatu yang menjadi harapan tinggi rakyat. Pengeluaran i-Lestari bolehlah berpandukan syarat sebelum ini, yakni pengeluaran bulanan dari akaun simpanan kedua pencarum. Bagi i-Sinar pula, pertimbangkanlah siling pengeluaran 10% lagi dari simpanan akaun 1, sama seperti fasa 1. Simpanan KWSP sesungguhnya bagi menampung keperluan selepas bersara, namun ianya tidak bermakna kemudian jika pencarum tidak mampu menyara hidup mereka hari ini,” ujar Thinalan lagi.     

Google+ Linkedin

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*