Tempat kerja terus sumbang kepada peningkatan kluster baharu, kata KP Kesihatan

Tempat kerja terus sumbang kepada peningkatan kluster baharu, kata KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, Jun 15: Tempat kerja terus menyumbang kepada pertambahan kluster baharu di Malaysia dengan sejumlah 1,328 kluster membabitkan tempat kerja dikesan sehingga hari ini dengan 147,040 kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (pix) berkata sektor perkilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja iaitu 95,156 kes yang membabitkan 639 kluster.

“Kebanyakan kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu sebanyak 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus),“ menurutnya dalam kenyataan berkaitan perkembangan situasi Covid-19 hari ini.

Beliau berkata kelekaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan merupakan antara penyumbang kepada kes kluster tempat kerja.

Katanya walaupun kementerian telah menetapkan pelbagai garis panduan dan SOP di tempat kerja seperti penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah pekerja yang hadir ke tempat kerja dan sebagainya namun tahap kesedaran berkaitan kepentingan pelaksanaan SOP masih perlu dipertingkat.

-Bernama

Google+ Linkedin

1 Comment

  • Ilatsumy pyedeya

    Disini kilang suami saya telah buka secara haram.dan memaksa pekerja dtg ke kerja.4org pekerja terdapat positif tapi tidak ambil apa2 tindakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*