Malaysia tetap berpeluang bawa pulang emas Olimpik, yakin Menteri KBS

Malaysia tetap berpeluang bawa pulang emas Olimpik, yakin Menteri KBS

KUALA LUMPUR, Jul 18: Walaupun persiapan atlet untuk Sukan Olimpik 2020 terjejas akibat Covid-19, Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican percaya negara masih mempunyai peluang untuk memenangi pingat emas pertama yang ditunggu-tunggu.

Bercakap kepada pemberita dalam wawancara khas, Reezal berkata, beliau tidak meletakkan harapan terlalu tinggi berkenaan perolehan pingat pada temasya sukan itu tahun ini, memandangkan para atlet berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, atlet perlu menyesuaikan diri dengan rejim latihan berasaskan kem dalam “gelembung sukan” disebabkan Covid-19, yang bermaksud mereka tidak dapat berjumpa keluarga sekalipun pada hujung minggu.

Tambahnya, dengan kewujudan wabak, mereka tidak dapat menyertai pertandingan di luar negara yang selalunya akan meningkatkan daya saing mereka untuk ke Olimpik.

Faktor-faktor ini memberi kesan kepada atlet, kata Reezal.

“Apabila saya menjadi menteri, saya dimaklumkan bahawa dalam mengukur kejayaan, memenangi pingat emas, jangan lihat Olimpik 2020. Lihatlah dua pusingan Olimpik, termasuk 2024 di Paris.

“Tetapi saya rasa kita masih ada peluang,” katanya dengan yakin.

“Kita ada (pelumba basikal trek) Mohd Azizulhasni Awang, yang kini bersedia sepenuhnya. Jika kita lihat pemikirannya sekarang, dia sedang mencabar dirinya sendiri.

“Dia berani beritahu saya, ‘Datuk Seri, saya nak bawa pulang pingat emas kali ini.’ Dan pada 2019 dan 2020, daripada 20 pertandingan disertainya, 14 kali dia naik podium.

“Dan pencapaian terakhirnya di Australia, dalam Kejohanan Australia baru-baru ini, menunjukkan prestasinya konsisten,” katanya, sambil menambah, Malaysia juga mempunyai beberapa “kuda hitam” di Tokyo selain atlet pilihan dalam sukan berbasikal, badminton dan selam.

Selain pingat, apa yang Reezal harapkan daripada kontinjen negara adalah supaya mereka berusaha gigih di Sukan Olimpik dan menetapkan sasaran bagi pencapaian mereka sendiri.

“Semestinya, kemuncak sasaran mereka adalah untuk memenangi pingat. Tetapi boleh jadi juga yang lain seperti memecahkan rekod sendiri, rekod kebangsaan, malah meletakkan diri dalam kedudukan teratas dunia,” katanya.

“Saya beritahu (atlet lompat tinggi) Lee Hup Wei bahawa sasarannya boleh jadi untuk mara ke peringkat akhir, berada di kedudukan 12 teratas. Untuk masuk ke peringkat akhir, ada yang kata dia harus menjangkaui jarak 2.26 m. Ini mungkin berlaku, memandangkan pencapaian peribadinya yang terbaik pada Kejohanan (Olahraga) Dunia Doha 2019 adalah 2.29m.

“Mari kita bersikap realistik (tentang memenangi pingat) tetapi pada masa sama, saya mahu mereka mencatat kejayaan dan laluan bersejarah bagi diri mereka sendiri.”

Walaupun Sukan Olimpik tahun ini mungkin menjadi yang terakhir bagi beberapa atlet veteran, Reezal yakin bahawa generasi bakat-bakat sukan seterusnya mampu memikul tanggungjawab ini, bahkan mengatasi senior mereka.

Katanya, ketika meninjau Velodrom Nasional baru-baru ini, beliau berasa kagum melihat kemampuan dan potensi penunggang basikal sandaran yang berlatih di sana.

“Kita bahkan mempunyai atlet muda seperti (pasangan beregu wanita badminton) M Thinaah dan Pearly Tan sedang bersedia. Set atlet sandaran sudah bersedia, cuma mereka belum layak ke temasya kali ini.

“Tetapi saya yakin kita ada banyak prospek pingat. Kita tidak lagi berharap pada seorang atlet. Dulu, asyik Lee Chong Wei, Lee Chong Wei,” katanya.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*