Kerjasama dengan PN jika nak menang besar PRU15, Shahidan nasihati Umno

Kerjasama dengan PN jika nak menang besar PRU15, Shahidan nasihati Umno

KUALA LUMPUR, Jul 21: Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Dato’ Seri Shahidan Kassim menggesa Umno membuka pintu rundingan bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) jika parti itu mahu menang pilihan raya umum akan datang, kata laporan.

Shahidan yang juga ahli parlimen Arau dipetik Utusan Online berkata rundingan bersama PN itu perlu memandangkan Timbalan Perdana Menteri Kerajaan PN Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan pemimpin kanan Umno.

“Umno sedar jika bergerak bersendirian dalam pilihan raya, mustahil akan menang melainkan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik.

“Jadi, jika tidak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS di dalam PN, adakah hendak bekerjasama dengan PKR dan DAP?

“Takkan hendak jadi pembangkang jika hendak bergerak sendirian, sudah pasti memerlukan kerjasama untuk membentuk kerajaan.

“Untuk menang besar, Umno perlu bekerjasama dengan PN dan rundingan tersebut perlu sentiasa dilakukan,” kata Shahidan yang disingkir daripada jawatan pengerusi Umno Perlis pada April lalu.

Dalam laporan sama, Shahidan mendakwa majoriti ahli parlimen BN iaitu sekitar 37 daripada 42 orang kekal menyokong kerajaan PN.

Shahidan juga dipetik Utusan Online berkata dia akan bertemu Presiden Umno, Ahmad Zahidi Hamidi untuk meminta seluruh pemimpin BN menyokong PN.

Untuk rekod, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menerima asakan daripada Umno agar meletakkan jawatan.

Selain itu, rakan Umno dalam BN iaitu MIC dan MCA juga telah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*