Jangan putus asa cari ikhtiar tamatkan pandemik Covid-19, kata PM

Jangan putus asa cari ikhtiar tamatkan pandemik Covid-19, kata PM

KUALA LUMPUR, Jul 23: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat untuk bersama-sama bermuhasabah di atas ujian pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Beliau berkata wabak itu adalah satu ujian daripada Allah SWT sementara dalam Islam dianjurkan untuk terus bersabar, reda dan tidak berputus asa untuk berikhtiar dalam mencari penyelesaian.

Selain itu, katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) antara ikhtiar dalam melindungi rakyat daripada wabak tersebut.

Beliau turut menghargai kesungguhan petugas barisan hadapan, penjawat awam, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dalam keadaan sukar ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Malaysia Berzikir Bersama Perdana Menteri menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan secara langsung di TV1 dan media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) malam tadi.

Program secara maya bermula jam 9 malam itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Alunan zikir itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni, Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Hashim, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Nor Azamir Alias dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Muhyidin Aziz.

Program itu disusuli dengan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Menginsafi Hikmah dengan panel undangan iaitu pakar motivasi Mohd Fadhilah Kamsah; Pensyarah Universiti Malaya Sharifah Hayaati Syed Ismail dan pendakwah, Muhammad Ashraf Ridzuan.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*