MP Jelutong diarah keluar dewan sebut perkataan ‘memalukan’

MP Jelutong diarah keluar dewan sebut perkataan ‘memalukan’

KUALA LUMPUR, Sept 14: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Seri Mohd Rashid Hasnon mengarahkan RSN Rayer (PH-Jelutong) keluar dewan selepas Ahli Parlimen itu menuduh beliau bertindak secara “memalukan” dalam isu menolak usul untuk ‘bosnya’ Azhar Azizan Harun, meletak jawatan.

Rashid turut menggantung wakil rakyat daripada DAP itu selama dua hari daripada sesi sidang Parlimen selepas Rayer enggan menarik balik perkataan yang dianggap tidak sopan itu.


“Saya mengarahkan Jelutong keluar Dewan, dua hari (gantung),” kata Rashid.

Sebelum itu, Rayer menuduh Rashid sebagai tidak telus dan gagal memberikan penjelasan munsabah atas tindakannya menolak usul wakil pembangkang mahukan Azhar meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

“Kenapa alasan keputusan itu (tolak usul minta speaker letak jawatan) tak dimaklumkan secara terbuka di Dewan Rakyat.

“Ini adalah salah guna kuasa, rakyat tengok. Ini memalukan,”kata Rayer.

Tindakan Rashid mengarahkan Rayer keluar dewan menimbulkan rasa tidak puas hati wakil pembangkang lain.

Ada kalangan mereka kemudian melaungkan perkataan ‘memalukan’ terhadap timbalan speaker itu.

Sebelum itu, Rashid memaklumkan beliau sebelum ini menolak semua 13 usul daripada Ahli Parlimen pembangkang yang mahukan Azhar meletak jawatan.

“Ada 11 usul, semua dari parti Amanah. Usul itu tidak menepati peraturan. Saya juga merujuk penasihat undang-undang, kemudian ada lagi dua usul itu dari wakil PKR, juga sama, tidak menepati peraturan.

“Maka setiap jawapan secara bertulis kepada pengusul telah diberikan (jadi) sila baca jawapan tersebut dan keputusan saya muktamad,” katanya dalam jawapan yang mencetuskan kemarahan Rayer.

Rashid turut mendakwa oleh kerana usul berkenaan ditolak lebih awal, ia tidak perlu dimasukkan dalam aturan Dewan Rakyat.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*