Negara catat penurunan kadar pengangguran pada suku kedua 2021 – Menteri Sumber Manusia

Negara catat penurunan kadar pengangguran pada suku kedua 2021 – Menteri Sumber Manusia

KUALA LUMPUR, Sept 14: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kadar pengangguran rakyat Malaysia pada suku kedua 2021 menurun 0.3 peratus daripada 5.1% kepada 4.8 peratus pada suku kedua 2020 berdasarkan data terkini Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang,  Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang meminta penjelasan berkenaan kadar pengangguran rakyat Malaysia mengikut negeri sehingga Ogos tahun ini.

“Melihat kedudukan pengangguran di peringkat negeri pada suku kedua 2021, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatatkan kadar pengangguran lebih 8 peratusiaitu masing masing pada kadar 8.8 peratus dan 8.7 peratus. Ini menunjukkan daripada 100 orang tenaga buruh di negeri tersebut, 9 orang daripadanya adalah penganggur.”

“Bagi tempoh yang sama, Perlis mencatatkan kadar pengangguran 5.3 peratus, manakala enam (6) negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih 4.0 peratus iaitu Kelantan 4.8 peratus, Kuala Lumpur 4.7 peratus, Perak, Selangor dan Sarawak masing-masing 4.4 peratus serta Terengganu 4.2 peratus.”

“Enam (6) negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mencatatkan kadar pengangguran di antara 3.5 peratus ke 3.9 peratus. Manakala, kadar pengangguran terendah adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada kadar 1.7 peratus. Ini dapat dikaitkan dengan penglibatan tinggi penduduk kawasan ini yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.,” kata Saravanan.

Menurut Saravanan lagi, secara keseluruhan, tujuh negeri mencatatkan kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus yang menggambarkan ekonomi negeri tersebut masih beroperasi dengan guna tenaga penuh.

Pada masa yang sama, penurunan bilangan penganggur direkodkan di tujuh negeri, iaitu Sabah, Perak, Sarawak, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Walau bagaimanapun, Selangor mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan penduduk bekerja, namun bilangan penganggur di negeri tersebut turut meningkat sebanyak 2.3 peratus iaitu 3,700 orang daripada 161 ribu orang kepada 165 ribu orang. Sementara itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula mencatatkan 43.6 ribu penganggur iaitu pertambahan seramai 10.4 ribu penganggur berbanding tahun sebelumnya,” jelas Saravanan lagi.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*