Pemilihan timbalan speaker ditangguh, majoriti MP kerajaan sendiri tolak Ahmad Maslan?

Pemilihan timbalan speaker ditangguh, majoriti MP kerajaan sendiri tolak Ahmad Maslan?

KUALA LUMPUR, Sept 14: Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya diadakan hari ini dikatakan akan ditangguh selepas majoriti ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menolak pencalonan Datuk Seri Ahmad Maslan bagi menduduki jawatan tersebut.

Difahamkan mereka bertindak demikian sebagai ‘tindak balas’ terhadap tingkah laku Ahli Parlimen Pontian itu yang sebelum ini ‘menyerang’ Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ahli Parlimen Pagoh tersebut menjadi Perdana Menteri.

Selain itu, Ahmad Maslan juga merupakan salah seorang daripada 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sehingga menyebabkan Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan dan Kerajaan PN tumbang.

Difahamkan dalam mesyuarat pra sidang Dewan Rakyat kelmarin yang melibatkan semua ahli Parlimen kerajaan, seorang pemimpin kanan PN secara terbuka memberitahu Ahmad Maslan bahawa beliau tidak akan menyokong Setiausaha Agung UMNO itu.

‘’Pemimpin kanan UMNO memberitahu kepada Ahmad Maslan tak kan selepas begitu teruk beliau menyerang Kerajaan PN sebelum ini, mereka akan begitu mudah hendak menyokong beliau,’’ kata satu sumber ketika dihubungi.

Sumber itu memberitahu selain sikap atau tingkah laku Ahmad Maslan terhadap kerajaan PN sebelum ini, pencalonan beliau juga tidak dipersetujui oleh ahli-ahli Parlimen tersebut kerana beliau daripada ‘kluster mahkamah’.

‘’Kalau sokongan diberikan kepada beliau menduduki jawatan Timbalan Speaker, ia akan menjejaskan imej kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lagipun sudah ada persefahaman mana-mana individu yang ada kes mahkamah tidak akan dilantik memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan,’’ kata sumber tersebut.

Menjawab satu soalan, sumber itu berkata, ahli-ahli Parlimen PN tidak ada masalah untuk menyokong mana-mana calon daripada UMNO asalkan ia bukan daripada ‘Kumpulan 15’ – merujuk kepada ahli Parlimen yang menjadi punca kejatuhan Kerajaan PN.

Mengikut jadual sidang Dewan Rakyat hari ini, pemilihan Timbalan Speaker sepatutnya diadakan selepas ia dikosongkan oleh Ahli Parlimen Pangerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ia sepatutnya menyaksikan ‘pertembungan’ antara Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH). Kor Ming merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau meletakkan jawatan itu pada 13 Julai 2020  kerana bersolidariti penuh terhadap Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang digugurkan daripada jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Kor Ming  juga menegaskan keputusan juga disebabkan, ‘’prinsip saya hanya akan berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat.’’

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*