Polisi kuarantin kendiri di rumah harus dirombak, saran parti Warisan

Polisi kuarantin kendiri di rumah harus dirombak, saran parti Warisan

KOTA KINABALU, Sept 14: Kerajaan perlu meneliti dan merombak semula polisi kuarantin kendiri di rumah agar rakyat yang positif Covid-19 mendapat jagaan sewajarnya oleh sistem kesihatan awam negara, kata Presiden Warisan Dato’ Seri Shafie Apdal.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung juga dapat mengelakkan lebih banyak kematian dan kematian di luar hospital (BID) akibat Covid-19 pada masa akan datang.

Katanya, sejak Julai lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan arahan bahawa semua pesakit baru yang dijangkiti Covid-19 perlu menjalani kuarantin di rumah.

“Dalam masa yang sama, hebahan demi hebahan dibuat dengan mengatakan bahawa penggunaan kemudahan kesihatan awam makin menurun.

“Hospital dikatakan makin lapang dan kurang sibuk berbanding dulu, ICU (Unit Rawatan Rapi) juga tidak lagi penuh, namun demikian, adalah dikhuatiri bahawa situasi ini tidak menggambarkan keadaan sebenar memandangkan kes kematian dan BID sangat tinggi berbanding dua bulan lepas,” katanya dalam kenyataan.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, pada 11 September, sebanyak 239,351 kes positif yang aktif direkodkan dengan 83.3% daripadanya menjalani kuarantin kendiri di rumah, manakala sebanyak 592 kematian dilaporkan dan merupakan angka tertinggi sejak wabak bermula dan angka itu termasuk 88 kes BID.

Katanya, data-data ini menunjukkan bahawa pengurusan wabak tidak dibuat sepenuhnya oleh kerajaan dan rakyat dibebankan untuk membuat kuarantin dan penjagaan kendiri di rumah.

“Lebih membimbangkan dengan jumlah kematian dan BID yang tinggi mungkin kerana mereka ini tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang sepatutnya disediakan oleh Kerajaan.

“Sekiranya polisi kuarantin kendiri di rumah ini tidak dirombak semula, kita khuatir ia bakal merumitkan lagi kesiapsiagaan negara mencapai fasa endemik nanti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memberikan maklumat yang tepat, telus dan komprehensif kepada rakyat berkenaan semua perkara berkaitan Covid-19.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*