463 kematian Covid-19 dilaporkan semalam, jumlah korban kini 21,587

463 kematian Covid-19 dilaporkan semalam, jumlah korban kini 21,587

KUALA LUMPUR, Sept 15: Laman penjejak CovidNow kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 463 kes kematian dilaporkan semalam (14 Sept), menjadikan jumlah korban akibat wabak Covid-19 kini seramai 21,587 orang.

Daripada jumlah itu, 108 mangsa (23.3 peratus) meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Jumlah kematian yang berlaku semalam adalah tiga, namun angka itu akan berubah dengan lebih banyak kes kematian dikenal pasti nanti dan dimasukkan dalam jumlahnya.

Buat masa sekarang, purata kematian dalam tempoh tujuh hari terakhir (menurut tarikh sebenar kematian) adalah 104 dan masih menunjukkan kadar penurunan.

KKM mengubah bagaimana kes kematian Covid-19 dilaporkan dan berkata angka purata tujuh hari memberi petunjuka yang lebih baik berkenaan keadaan Covid-19 di Malaysia.

Terdahulu, Malaysia melaporkan kes kematian Covid-19 berdasarkan tarikh ia dikenal pasti disebabkan oleh wabak itu.

Dengan membandingkan statistik terperinci yang dimuat naik KKM pagi ini dan data semalam, Malaysiakini mendapati lebih separuh kematian sebenarnya berlaku dalam tujuh hari terakhir. Separuh yang lain berlaku lebih awal.

Selain itu, jumlah kematian pada tarikh-tarikh tertentu didapati berkurangan.

Sebagai contoh, data KKM semalam menunjukkan terdapat 15 ‘kematian sebenar’ pada 7 Feb tetapi ia diubah pagi ini kepada 12 kematian.

Sebab pengurangan seperti itu tidak jelas, tetapi KKM sedang dalam proses merombak sistem pelaporan kematian Covid-19 mereka untuk memastikan pelaporan lebih tepat.

Pengurusan berterusan bagi laporan data kematian yang tertunggak juga dijangka menunjukkan ‘lonjakan’ jangka pendek kematian yang dilaporkan untuk minggu ini.

Di peringkat negeri, kebanyakan kematian yang dilaporkan berlaku di Selangor (255) termasuk 84 yang meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.

Ia disusuli dengan Kedah (54), Johor (38), Perak (24), Pulau Pinang (23), Kelantan (19), Sabah (16), Kuala Lumpur (12), Sarawak (7), Pahang (6), Melaka (4), Terengganu (3) dan Negeri Sembilan (2).

Jumlah kes kematian mengikut negeri berdasarkan tarikh sebenar kematian boleh dilihat di laman CovidNow.

Semalam terdapat 15,699 lagi kes Covid-19 yang dilaporkan.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*