Kemarau panjang, suhu harian rendah faktor cetus fenomena pembungaan lebat

Kemarau panjang, suhu harian rendah faktor cetus fenomena pembungaan lebat

KUALA LUMPUR, Sept 21: Musim kemarau panjang dan suhu minimum harian rendah merupakan faktor mencetuskan fenomena musim berbunga yang lebat di negara ini, menurut hasil kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Ketua Pengarah FRIM Dr Ismail Parlan berkata kajian kitaran pembungaan itu dijalankan di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Pasoh di Hutan Simpan Pasoh, Negeri Sembilan sejak 2001 menerusi projek penyelidikan bertajuk Pemantauan Taburan Biji Benih dan Anak Benih.

Beliau berkata kajian tersebut merupakan projek usahasama antara FRIM, Smithsonian Forest Global Earth Observatory (ForestGEO), Amerika Syarikat dan National Dong Hwa University (NDHU), Taiwan.

“Kajian menunjukkan fenomena ini berlaku pada selang waktu tidak teratur antara satu hingga 10 tahun dan ia direkodkan berlaku sebanyak tujuh kali iaitu pada 2002, 2005, 2009, 2010, 2012, 2014 dan 2019.

“Terdapat hipotesis menyatakan fenomena ini berlaku sebagai satu strategi tumbuh-tumbuhan bagi memaksimumkan keupayaan dan kejayaan anak benih untuk bercambah serta terus hidup,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Ismail berkata musim berbunga lebat bagi spesies pokok berlaku pada selang waktu yang tidak tetap antara dua hingga 10 tahun, namun untuk spesies daripada famili dipterokarpa kitaran pembungaannya (fenologi) adalah antara lima hingga tujuh tahun.

Katanya musim berbunga lebat di Asia Tenggara disusuli dengan buah lebat yang memenuhi lebih daripada 80 peratus bahagian kanopi dan melebihi separuh bagi sebatang pokok matang yang mungkin berbunga dalam jangka masa tiga atau empat bulan.

Sementara itu, Pengurus SPF Mata Ayer Perlis Ahmad Fauzi Mohd Shariff berkata pada Februari 2017, fenomena pembungaan yang lebat turut melibatkan kebanyakan pokok meranti temak nipis (shorea roxburghii) di utara Kedah dan kutipan biji benih keruing cogan (dipterocarpus rigidus) telah dijalankan.

Selain itu, katanya kutipan biji benih gerutu-gerutu (parashorea sp.) yang berbuah lebat dan gugur di kawasan Pusat Latihan Perhutanan Chalok, Setiu, Terengganu telah dijalankan pada April lepas sebelum dibawa ke SPF Mata Ayer untuk aktiviti semaian.

FRIM menerusi kenyataan turut memaklumkan, fenomena musim berbunga lebat juga berlaku terhadap pokok-pokok hutan di Kampus FRIM, Kepong tahun ini dan dianggarkan 50 hingga 60 peratus populasi spesies dipterokarpa di kawasan itu berbunga serta berbuah.Kutipan juga dibuat dan diselaraskan oleh Makmal Teknologi Biji Benih FRIM untuk tujuan semaian dan aktiviti penanaman.

Kenyataan itu memaklumkan hasil penyelidikan FRIM mengenai fenomena tersebut dikongsi melalui Siri Webinar Kempen Penghijauan Malaysia kedua bertemakan Mass Flowering: Mass Flowering of the Malaysian Rainforest: Capitalising on the Event for Mass Production of Planting Materials yang diadakan pada 30 Julai lepas.

Webinar anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), FRIM dan The Habitat Foundation itu merekodkan hampir 1,200 peserta termasuk dari Thailand, Filipina, Indonesia, Jepun dan Australia manakala saluran FB Live merekodkan capaian 3,058 orang pada 30 Julai lalu.– BERNAMA

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*