Perkeso kekal unggul melindungi tenaga kerja negara, kata Saravanan sempena Jubli Emas Perkeso

Perkeso kekal unggul melindungi tenaga kerja negara, kata Saravanan sempena Jubli Emas Perkeso

KUALA LUMPUR, Okt 1 – Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu telah membuka mata orang ramai mengenai pentingnya tanggungjawab yang digalas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, dalam usaha membantu rakyat mendepani ujian pandemik, kerajaan telah merangka beberapa pakej rangsangan ekonomi dan Perkeso adalah antara beberapa agensi utama yang diberi mandat besar untuk melaksanakannya.


“Perkeso sebagai salah satu agensi utama di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah melaksanakan tanggungjawab membantu rakyat mendepani pandemik ini dengan cemerlang, sama ada melalui pelbagai insentif kerajaan mahupun program sedia ada.

“Saya yakin melalui pelbagai usaha kerajaan termasuk yang dilaksanakan oleh Perkeso dan kadar vaksinasi yang tinggi akan merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis sempena sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Perkeso hari ini bertemakan ‘Prihatin Lima Dekad dan Selamanya’.

Seiring dengan masa, Perkeso telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan kini liputan perlindungannya semakin meluas sehingga merangkumi pekerja dalam sektor tidak formal atau bekerja sendiri serta pekerja asing bagi menambah baik jaringan keselamatan sosialnya.

Sehubungan itu, Saravanan berharap tenaga kerja negara akan terus bangkit dan kembali membina kerjaya, kehidupan serta masa depan mereka selepas melalui kesukaran akibat Covid-19.

Perkeso kini mempunyai lebih tujuh juta individu dan 400,000 majikan yang mencarum di seluruh negara.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*