Denda maksimum RM10 juta bagi pelaku jenayah alam sekitar

Denda maksimum RM10 juta bagi pelaku jenayah alam sekitar

PUTRAJAYA, Okt 20: Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) mencadang mewujudkan denda minimum tidak kurang daripada RM5,000 dan denda maksimum tidak lebih RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata AKAS 1974 dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan.

Menurutnya, rakyat mendesak agar hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar terutama membabitkan kes pencemaran sungai.

Katanya, kementerian sudah mengkaji dan mencadangkan pindaan AKAS 1974 untuk dipertimbangkan di Parlimen.

“Insya-Allah, pindaan ini akan dibentangkan pada suku pertama 2022 di Parlimen tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri dan doakan agar proses pindaan ini berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam catatan di Facebooknya.

Pada April media melaporkan,Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan meminda AKAS 1974 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pihak industri yang gagal melaksanakan pengurusan bahan buangan mengikut peraturan ditetapkan.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pindaan akta itu disifatkan penting bagi memberi pengajaran buat pihak pengurusan yang gagal melabur atau mengambil langkah untuk melaksanakan pengurusan persekitaran betul serta sistem pembuangan sampah yang dapat mengurangkan risiko terhadap alam sekitar.

Tuan Ibrahim berkata, intipati cadangan pindaan fasa 1 ini membabitkan cadangan menaikkan kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan.

Katanya, cadangan juga mengenakan hukuman mandatori penjara tidak lebih lima tahun terutama membabitkan kesalahan pencemaran air dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*