PRN Melaka: UMNO, BN kerjasama dengan pihak lain belum rasmi

PRN Melaka: UMNO, BN kerjasama dengan pihak lain belum rasmi

KUALA LUMPUR, Okt 20: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan muktamad UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum diputuskan secara rasmi.

Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan hanya akan diputuskan selepas mesyuarat di tiga peringkat.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta Dewan Tertinggi BN sebelum keputusan dimuktamadkan.

“UMNO dan BN mesti ditanya siapa rakan politik kami untuk menghadapi PRN. Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk UMNO dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan secara rasmi.

“Keputusan muktamad akan kita umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik UMNO dan juga MKT UMNO akan diikuti Dewan tertinggi BN yang akan kita adakan minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamaan calon,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera PRN UMNO Melaka di Masjid Tanah, semalam.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menerima pandangan mana-mana pihak sebelum keputusan dibuat.

“Pelbagai pihak datang kepada kami, kami berlapang dada dan berfikiran terbuka… siapa sahaja mahu berikan pandangan kami terima.

“Namun segala keputusan akan kita putuskan secara kolektif apabila tiba masanya nanti. Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelaah di manakah pendirian UMNO dan BN dalam PRN Melaka ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pemilihan calon UMNO ketika ini bertumpu kepada rekod kemenangan calon berdasarkan data dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan ke-14 lalu.

“Setakat ini kami melihat bahawa fokus kepada calon-calon kami terletak di atas kebolehmenangan kawasan DUN itu.

“Berdasarkan sains dan data melalui perangkaan yang diperolehi daripada PRU-14 dan PRU-13 dan unjuran yang dibuat untuk PRN kali ini,” katanya lagi.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*