Bajet 2022: Hasil kerajaan perlu dipertingkatkan – Bank Dunia

Bajet 2022: Hasil kerajaan perlu dipertingkatkan – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, Okt 31: Kerajaan perlu melaksanakan lebih banyak langkah berstruktur untuk meningkatkan hasil jika mahu merealisasikan sasaran defisit fiskal yang ditetapkan dalam Bajet 2022.

Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin memuji beberapa inisiatif cukai dalam belanjawan itu, termasuk cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang, namun perlu diingatkan bahawa jumlah keseluruhan yang dijana mungkin tidak mencukupi.

“‘Cukai makmur’ yang dicadangkan dikenakan sekali sahaja juga merupakan usaha yang baik tetapi langkah itu hanya boleh dilaksanakan pada 2022 sekali gus ia tidak memberi impak yang ketara bagi jangka panjang,” katanya dalam program ‘The Nation Post-Budget 2022’ yang disiarkan Bernama TV pada Sabtu.

Beliau berkata langkah berstruktur atau lebih mampan diperlukan apabila membabitkan usaha untuk meningkatkan hasil kerajaan pada masa depan.

“Antara cabaran Bajet 2022 yang kami kenal pasti dari segi hasil kerajaan adalah ia diunjurkan kekal rendah, anggaran pada 14.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, bajet berkenaan memberi kesedaran lebih tinggi mengenai tempoh pemulihan secara berwaspada pada tahun depan, dengan sokongan kekal diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana, khususnya syarikat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti sektor pelancongan.

Semasa membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan mengunjurkan defisit fiskal 2022 berkurangan kepada enam peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021.

Beliau juga berkata kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara sekali sahaja kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.

“Dengan nama Cukai Makmur, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022,” katanya.

Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat pada Jumaat, mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Sebanyak RM332.1 bilion diperuntukkan tahun depan, dengan RM233.5 bilion daripada jumlah tersebut akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.

– Bernama

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*