ASEAN perlu bersama harungi perubahan ancaman keselamatan

ASEAN perlu bersama harungi perubahan ancaman keselamatan

KUALA LUMPUR, Nov 12: Negara ASEAN perlu memperkukuh kerjasama serantau termasuk military-to-military dalam mendepani perubahan ancaman keselamatan era pasca pandemik, menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bercakap dalam Pemukiman Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), beliau menegaskan, semua pihak harus mengakui landskap dunia dan ancaman keselamatan telah berubah secara mendadak apabila bermulanya pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Justeru katanya, pertahanan negara ASEAN perlu berubah selari dengan keadaan semasa dengan menumpukan kepada wabak Covid-19 dan perubahan landskap keselamatan geopolitik seperti ancaman siber.

“Angkatan tentera terutama Kor Kesihatan masing-masing harus terus berperanan melalui perkongsian pengalaman serta pendekatan terbaik terutama dalam konteks kaedah ujian pengesanan Covid-19, vaksinasi dan rawatan.

“Pandemik juga telah mengubah landskap keselamatan dengan pengganas kini beralih ke media maya untuk menyebar propaganda. Alam siber telah menjadi domain baharu yang perlu dikawal seterusnya mengelakkan sebarang potensi ancaman kepada pertahanan negara.

“Disebabkan itu, Malaysia menyokong penuh penubuhan Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ACDN) bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan kebolehoperasian dalam menangani ancaman siber,” ujarnya.

Jelas Hishammuddin, ASEAN mesti kekal strategik sebagai satu blok dalam mendepani landskap geopolitik yang kian mencabar menerusi perkongsian baharu antara negara yang berkuasa dan berpengaruh.

“Sebagai negara kecil, 10 negara ASEAN mesti berkongsi nilai yang sama, bersatu, menggalakkan keyakinan, meningkatkan keupayaan, dan mencegah konflik demi kepentingan keselamatan serantau.

“Walaupun berdepan cabaran, ASEAN kekal sebagai antara serantau yang dengan kerjasama paling berjaya di dunia, tetapi perkembangan baharu Covid-19 memerlukan kita bekerja lebih keras untuk terus berkembang,” katanya.

Sementara itu, dalam Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-Korea, Hishammuddin menegaskan, mesyuarat tersebut memberi peluang kepada ASEAN dan Korea untuk meneroka banyak bidang kerjasama pertahanan yang berpotensi terutama dari segi keselamatan siber.

“Memang tidak diragui banyak kerjasama di bawah bidang ADMM-Plus seperti latihan dan pertukaran dalam bidang memerangi keganasan dan pertahanan siber telah meningkatkan profesionalisme dalam kalangan negara ASEAN.

“Selain itu, kerjasama yang boleh diambil antara ASEAN dan Korea berada dalam industri pertahanan, sains pertahanan dan teknologi,” jelasnya.

Dalam Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-Australia pula, beliau memaklumkan menghargai hubungan pertahanan dua hala, khususnya di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) sejak 1992 yang memberi peluang kepada pegawai untuk bertukar pengalaman dan kepakaran ke arah manfaat bersama. 

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*